29 March 2018

FOTO BERSAMA IZREEN - JURUSOLEK PULA TERIMA 'HABUAN'


Jurusolek yang dikenali dengan nama Naomi Larra telah menerima tempias kecaman dan hinaan netizen selepas memuatnaik foto bersama pelakon Izreen Azminda di laman sosial Instagram.





Sebelum ini, Sheila Rusly turut mengalami nasib serupa kerana perkongsian gambarnya dengan Izreen selepas wanita kontroversi itu menutup sementara akaun Instagram miliknya.

Naomi, 33, berkata, dia terkejut apabila ruangan komen pada gambar tersebut dihujani dengan pelbagai kritikan dan kecaman menyelar tindakannya bergambar dengan aktres tersebut.

"Saya terkejut apabila menerima banyak komen berbentuk kecaman daripada netizen yang marahkan saya dan Izreen.

Klik untuk gambar besar


"Pelik pula apabila saya turut dikecam sedangkan itu hanyalah sekadar perkongsian hasil kerja saya sebagai seorang jurusolek.

"Gambar itu dirakam selepas saya menyolek Izreen untuk rancangan masakan 'Ketuk-Ketuk Ramadan' yang menjalani penggambaran di sebuah pasar raya di Perlis, baru-baru ini.

"Ia menjadi tular apabila ada beberapa blog hiburan menulis mengenai foto saya bersama Izreen itu dan bermula daripada situlah ramai netizen menyerang Instagram peribadi saya iaitu @naomilarra," katanya yang sekadar berkongsi hasil kerjayanya sebagai seorang jurusolek.

Dalam pada itu, Naomi turut meluahkan perasaan terkilan dengan sikap sesetengah individu yang terlalu mudah menjatuhkan hukum kepada orang lain.



Malah, dia turut kecewa dengan tindakan pengguna laman sosial yang tidak berhemah semasa meninggalkan komen dan menjadikan medium tersebut sebagai tempat untuk melepaskan amarah.

"Sejujurnya, saya rasa sedih apabila membaca komen-komen negatif itu, lebih-lebih lagi ia dituturkan oleh orang Melayu kita dan rata-rata mereka masih muda. Bukan Izreen sahaja dikecam, malah saya turut menjadi mangsa hinaan.

"Orang kata berdiam itu lebih baik kerana kita sendiri pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku disebalik isu ini dan kalau nak bagi nasihat gunakanlah bahasa yang sopan," ujarnya.

Bercakap mengenai pertemuannya dengan Izreen pada petang itu, Naomi mendedahkan pelakon drama 'Bukan Wanita Sempurna' itu menitiskan air mata ketika bercerita kontroversi tersebut.



Tambah Naomi, setelah hampir lima tahun mengenali Izreen, aktres tersebut seorang wanita yang menyenangkan dan tidak pernah bercerita buruk mengenai orang lain.

"Semasa di belakang set, Izreen ada bercerita mengenai hal rumah tangganya sehinggakan dia menangis, namun dia masih professional kerana mampu tersenyum dan bergelak di hadapan kamera.

"Bagaimanapun, saya tak mahu ulas lanjut mengenai isu ini kerana ia merupakan masalah dalaman peribadi dan tidak manis untuk bercakap lebih-lebih.

"Izreen seorang wanita yang ceria, kelakar, baik hati dan tidak pernah menyakitkan hati orang lain. Semoga dia tenang menghadapi ujian hidup ini," ujarnya yang sudah 13 tahun bergelar jurusolek artis.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: