02 August 2018

SARAT HAMIL ANAK KE-3 - SUAMI LAYAN FIZA HALIM BAK PUTERI


"Saya dilayan umpama tuan puteri hingga tak dibenarkan membuat kerja rumah. Suami sendiri yang melakukan semua kerja.





"Dialah yang memasak, membasuh dan menggosok baju... Pendek kata, semua perkara suami uruskan," demikian kata penyanyi dan pelakon Fiza Halim yang bertuah mendapat suami 'ringan tulang' dan melakukan semua kerja rumah.

Difahamkan, bekas anggota kumpulan Elite yang berkahwin dengan Aizat Al-Jefri Abdul Kudus pada Disember 2016 itu menanti kelahiran puteri ketiga pertengahan bulan depan.

Pasangan terbabit masing-masing memiliki dua anak daripada perkahwinan lalu. Fiza memiliki dua puteri iaitu Ferra Aryanna dan Feeya Adyrra manakala suaminya, dua anak lelaki.

Ditanya mengenai proses kehamilannya, Fiza berkata, dia tidak mengalami alahan teruk.

Klik untuk gambar besar


"Cuma pada tempoh tiga bulan terawal kehamilan, saya tak boleh makan... Asyik nak muntah saja. Namun, apa yang lucu, selepas fasa itu, saya lebih suka memakan sajian Barat hingga tidak langsung menjamah nasi.

"Tak tahulah kalau terkenan 'Mat Salleh' hingga hendak makan pun jadi begitu. Saya lebih suka makan spageti dan ayam panggang.

"Minuman panas pun saya tak sudi," katanya sambil menambah doktor meramal dirinya bersalin pertengahan atau selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Mengenai keterujaan menimang cahaya mata perempuan, Fiza berkata:

"Suami sangat teruja kerana dia sudah lama mahukan anak perempuan. Malah, dia bernazar berhenti merokok jika saya melahirkan anak perempuan," katanya yang berdoa proses melahirkan bayi dipermudahkan.



Tambah Fiza, dua anak perempuannya iaitu Ferra dan Feeya juga teruja mendapat adik.

"Mereka merancang bersama suami untuk menamakan bayi yang bakal lahir. Mereka mahu pangkal nama yang sama.

"Saya harap orang ramai dapat mendoakan proses kelahiran kali ini lancar," katanya yang bakal melahirkan anak secara pembedahan.

Sebelum ini, Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 36, mendirikan rumah tangga bersama Ahmed Farriq Zainul Abidin namun berpisah pada 2010.

Fiza seterusnya berkahwin dengan bintang Akademi Fantasia (AF), Adam pada September 2013. Namun, tujuh bulan kemudian mereka bercerai. Tiga bulan selepas itu, mereka rujuk sebelum bercerai sekali lagi, setahun kemudian.








www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: