09 October 2018

AKUI BERCERAI - LINDA EVA TERKILAN 'BULAN CINTA' DIDAKWA MILIK AMELINA


Penyanyi Linda Eva, 41, yang mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan dikenali sebagai Hasbullah selama 20 tahun itu telahpun berakhir sejak sebulan lalu.





Perkara tersebut diakui sendiri oleh Linda yang kini berstatus ibu tunggal empat anak. Menurut ibu vokalis Putera Band, Haziq ini, dia juga sudah berusaha sebaik mungkin menyelamatkan rumah tangganya.

"Ya, memang saya sudah sah bercerai dengan bekas suami pada September lalu. Bahkan, perceraian itu pun berakhir secara baik selepas tidak wujud persefahaman dalam hubungan rumah tangga kami.

"Saya reda dan menganggap jodoh bersama bekas suami hanya setakat ini. Malah, anak-anak pun di bawah jagaan saya," katanya.

Ujar Linda, dia juga bersyukur kini kembali aktif menyanyi semula secara solo dan bersama kumpulan Eva.

Hasil perkongsian hidup Linda atau nama sebenarnya, Norhaslinda Ishak bersama bekas suami, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Haziq, 18, Afrina, 14, Syuhadah, 13, dan Aliya, 8.

Sementara itu, Linda juga meluahkan rasa terkilannya apabila lagu popular kumpulan Eva, 'Bulan Cinta' didakwa lagu milik penyanyi dangdut Amelina. Linda yang menyaksikan program realiti TV baru-baru ini berkata penyanyi asal lagu 'Bulan Cinta' adalah kumpulan Eva.

Klik untuk gambar besar


"Namun, saya tak nafikan Amelina pernah merakamkan semula lagu Bulan Cinta sekitar 1999 atau 2000 untuk satu album kompilasi.

"Justeru, saya kesal apabila pihak produksi program realiti TV itu menyebut lagu Bulan Cinta nyanyian Amelina dan bukan kumpulan Eva. Lagu Bulan Cinta ciptaan sepenuhnya komposer Nabila sangat bermakna buat kumpulan Eva. Ia lagu popular milik kami.

"Menerusi lagu Bulan Cinta, kumpulan Eva dikenali ramai serta membawa kami layak bertanding hingga di pentas kemuncak acara Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1996," jelasnya.

Kumpulan Eva dianggotai Linda, Izzu, Rina dan Mimi juga adalah perintis irama dangdut berkumpulan pada era 1990-an lalu.

Mengulas mengenai persembahan kumpulan Elite yang menyanyikan lagu Bulan Cinta dalam program realiti TV itu, Linda berkata Elite ada cara mereka tersendiri.

Ujar ibu saudara penyanyi Aiman Tino dan Farah Hazel ini, apa pun dia ucapkan terima kasih kepada Elite kerana sudi menyanyikan lagu Bulan Cinta nyanyian asal kumpulan Eva.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: