24 October 2018

VIDEO UCAPAN PROTES TULAR - ELLIE SURIATY NAFI LAKONAN


"Saya sendiri pun tak sangka video itu akan tular di media sosial. Banyak kecaman yang saya terima daripada masyarakat, bahkan ada juga daripada rakan-rakan selebriti.





"Namun, saya tak mahu terlalu mengambil pusing. Mungkin secara keseluruhan, hanya 15 peratus saja yang memandang perjuangan saya dari sudut negatif.

"Selebihnya, mereka faham dan menyokong," kata pelakon dan pengarah Ellie Suriaty, 48, yang tidak menyangka video ucapan protes yang dilakukannya di depan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tular dan menerima pelbagai reaksi masyarakat.

Menurut Ellie atau nama penuhnya Ellie Suriaty Omar, dia juga turut menerima kecaman daripada rakan-rakan selebriti.

Diminta mengulas mengenai ucapannya yang bersemangat sehingga ada yang menganggap itu sekadar lakonan, Ellie berkata, setiap kata-katanya adalah ikhlas dari lubuk hatinya.

"Itu bukan lakonan. Berlakon adalah kerja profesional saya, tapi saya tak boleh berlakon kalau diminta secara suka-suka kerana bagi saya, itu adalah satu penghinaan buat diri saya.

"Saya bukan ahli politik, sebaliknya seorang aktivis. Ketika memberikan ucapan itu, saya benar-benar marah dan ingin menegakkan keadilan untuk UMNO.

"Saya bukan rasis. Begitu juga dengan kerajaan lama. Salahkah seorang Melayu, ingin mempertahankan parti yang selama ini berada di belakang orang Melayu?" ujarnya yang juga menolak kenyataan beberapa netizen yang menganggapnya sebagai rasis.

Ditanya sama ada tindakannya mendapat sokongan daripada suaminya yang juga pelakon, Azri Iskandar, Ellie mengakui timbul kerisauan dalam hati suaminya.

"Dia risaukan saya. Dia tak mahu apa-apa yang buruk berlaku kepada saya. Tapi, dia sendiri pun sedia maklum bahawa saya wanita yang berjiwa 'liar'," tuturnya.

Dalam video berdurasi dua minit 20 saat itu, Ellie dengan lantang memprotes cadangan kerajaan yang ingin membubarkan UMNO.

Dalam perkembangan lain, telefilem arahannya, Tulus Cinta tercalon dalam kategori Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2018 (ASK2018) yang bakal berlangsung pada 2 November ini.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: