14 November 2018

'MUNAFIK 2': INDIVIDU DISAMAN RM100K - YUSOF HASLAM NAFI ANIAYA


Pengarah Syamsul Yusof menerusi laman Twitter dan Instagramnya telah meluahkan rasa syukur dan puas hati mengenai kemenangan Skop Productions Sdn Bhd membabitkan tuntutan saman ke atas individu yang memuatnaik dan menyebar filem Munafik 2 arahannya di media sosial, semalam.





Kata Syamsul tindakan tersebut diambil agar ia menjadi pengajaran kepada pihak tersebut yang dikenali sebagai Sasuke Kun ataupun nama sebenarnya Muhammad Izwan Shah Kamal Shah.

Syamsul yang juga pengarah dan pelakon utama filem pecah panggung 'Munafik 2' berkata, dia berharap kemenangan itu akan membuka mata banyak pihak dan menjadi pengajaran kepada masyarakat.

"Saya berharap lebih ramai individu yang melakukan jenayah ini dibawa ke muka pengadilan. Kami mengambil tindakan ini bukan hanya untuk syarikat produksi sendiri, tetapi mewakili industri perfileman tanah air.

"Ramai yang tidak tahu tindakan memuatnaik filem tanpa keizinan adalah kesalahan jenayah dan pihak kami bertindak juga hanya mengikut saluran undang-undang," katanya.

Klik untuk gambar besar


Mahkamah Tinggi Taiping semalam memerintahkan defendan, Muhammad Izwan Shah Kamal Shah membayar sebanyak RM100,000 kepada Skop Productions.

Defendan juga dihalang melanggar hak cipta plaintif-plaintif untuk filem 'Munafik 2', memuatnaik dan mana-mana bahagian daripada filem berkenaan dalam apa-apa bentuk dalam media sosial dan platform lain, tanpa keizinan plaintif-plaintif.

Syamsul berkata, ia juga adalah kes pertama dalam sejarah industri perfileman tempatan apabila Skop Productions mengheret individu tidak bertanggungjawab memuatnaik filem tanpa kebenaran ke mahkamah.

Syamsul turut berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) membuka mata untuk mengetengahkan isu ini kepada pihak berkuasa.



"Finas perlu melakukan sesuatu membabitkan isu cetak rompak filem tempatan yang tiada penghujungnya. Pihak berkuasa perlu lebih tegas kerana undang-undang sedia ada juga longgar untuk membanteras jenayah cetak rompak ini," ujarnya.

Sementara itu, pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam menjelaskan tindakan syarikat mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan bukanlah atas niat menganiaya orang.

Yusof memberitahu, tindakan individu terbabit seolah-olah mencabar dirinya dan Syamsul sebagai pengarah 'Munafik 2', apabila harta intelek yang dihasilkan diperlakukan sedemikian rupa.

"Saya bukan mahu aniaya sesiapa tetapi tindakan individu terbabit seolah-oleh mencabar saya dan Syamsul. Niatnya mahu mensabotaj filem Munafik 2... Bukan saya dan Syamsul tidak beri amaran, malah kakitangan syarikat pun sudah banyak kali menasihati agar dia padam (filem Munafik 2) dalam laman sosial tetapi tidak diendah.



"Sebaliknya, individu terbabit muatnaik filem itu di tempat lain hingga tersebar ke Indonesia. Jadi, saya fikir, kita kena bertindak kali ini. Ada penerbit yang mengalami kerugian teruk, tetapi kami maafkan.

Perlu dijelaskan, tindakan saya adalah sebagai peringatan terhadap netizen agar menghormati undang-undang, bukannya mencabar. Saya ambil tindakan ini bukan untuk syarikat produksi saya, sebaliknya mewakili industri perfileman negara," jelasnya.

Terdahulu, Datuk Yusof dan Syamsul mengambil tindakan mahkamah terhadap individu yang melanggar hak cipta filem dengan memuatnaik di laman media sosial Facebook dan Instagram menerusi akaun profil Sasuke Kun dan @muhammad_izwan_shah.

Filem 'Munafik 2' kemudiannya tersebar luas dan dikongsi di beberapa laman media sosial untuk tontonan umum. Sebelum itu, satu laporan polis berkaitan itu sudah dibuat di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur pada 20 September lalu.






www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro Berita Harian & Instagram Syamsul Yusof @thehitmannazri


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: