18 November 2018

RAJA ILYA NIKAH 23 DISEMBER INI DI AUSTRALIA


Mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan lelaki Australia, 23 Disember ini, pelakon Raja Ilya berkata, dia dan bakal suaminya yang mahu dikenali sebagai TWG akan bernikah dalam satu majlis tertutup di Perth, Australia dengan kehadiran 100 tetamu.





"Alhamdulillah saya bakal melangkah ke gerbang perkahwinan selepas dia datang ke Malaysia secara mengejut untuk melamar serta mengadakan majlis pertunangan di Pulau Langkawi, Kedah pada 23 Oktober lalu.

"Sebenarnya kami merancang untuk berkahwin sekitar dua tahun lagi. Namun ia bertukar menjadi setahun sebab rasa terlalu lama.

"Namun ketika dia datang ke Malaysia bulan lalu dia ajak saya kahwin sebab katanya tiada sebab untuk tunggu lama memandangkan kedua-duanya sudah bersedia," katanya.

Klik untuk gambar besar


Menurut Ilya, pada 23 Disember ini hanya majlis akad nikah saja dilakukan manakala acara resepsi akan diadakan pada tahun depan di Perth dan diikuti di Kuala Lumpur.

Akui pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad itu, bakal suaminya adalah ahli perniagaan berusia 37 tahun yang menetap di Perth.

Ditanya tidakkah majlis perkahwinan ini dibuat secara tergesa-gesa memandangkan dia kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Ilya berkata , tiada sebab mereka menangguhkan perkahwinan terbabit.



"Tiada sebab untuk saya tangguhkan perkara yang baik. Lagipun kami berdua sangat teruja untuk menjalani alam rumah tangga bersama.

"Boleh dikatakan persiapan perkahwinan saya ini hampir 99 peratus dibuat oleh bakal suami dan keluarganya. Kebelakangan ini kami kerap buat panggilan video untuk melakukan persiapan perkahwinan termasuk memilih cincin kahwin.

"Doakan semoga majlis perkahwinan ini berjalan dengan baik dan dipermudahkan," tuturnya yang sudah mengenali jejaka terbabit hampir enam tahun.






www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: