13 November 2018

ZAMANI: "SAYA BUKAN 'KIPAS' JURI" - PENGURUS SALURAN RIA NAFI 'SIMPAN'


"Pada saya, penyertaan ini rezeki dari Allah, saya percaya dengan perkara itu dan kita kena hormati keputusan juri. Apa yang pasti, saya tak pernah buat apa-apa perkara yang tidak betul seperti berjumpa dengan juri, saya bukan jenis 'kipas' juri, malah saya tak buat apa-apa pun.





"Saya buat kesalahan di persembahan pertama dan saya reda dengan apa yang terjadi. Persembahan kedua saya berikan yang terbaik," kata penyanyi Zamani Slam yang menyifatkan penyertaannya ke peringkat akhir Gegar Vaganza musim kelima (GV5) merupakan rezeki dari Allah.

Biarpun gagal menyempurnakan tugasan pertama dengan sebaiknya, Zamani menghormati keputusan juri yang memberikan markah tinggi terhadap persembahan keduanya.

Dalam pada itu, Zamani juga akur dengan sesetengah netizen yang tidak berpuas hati dan mempertikaikan keputusan apabila dia bolos ke peringkat akhir GV5.

Klik untuk gambar besar


"Hak mereka untuk bersuara... Sudah tentunya ada yang tak puas hati, kalau saya berada di situasi mereka yang menonton pun saya tak puas hati tetapi saya harap kritikan itu dilakukan menerusi saluran yang betul.

"Saya percaya kepada rezeki dan akan cuba memberikan yang terbaik di peringkat akhir GV5 nanti," ujarnya.

Selain Zamani, lima peserta lain yang berjaya ke peringkat akhir adalah Noryn Aziz, Amelina, Dia Fadila, Maya Ruslee dan Billy Zulkarnain.

Sementara itu, menurut Datuk Ramli MS, kemaraan Zamani ke peringkat akhir adalah berdasarkan pengadilan yang saksama dan tiada sebarang keistimewaan yang diberikan kepadanya.



"Jika hanya ada satu lagu, sudah pasti dia tersingkir, tetapi Zamani bernasib baik kerana dalam tugasan kedua, dia tidak melakukan kesilapan.

"Sebagai juri, saya tidak menilai dia secara emosi tetapi profesional. Apabila markah daripada dua persembahan dicampur, ternyata ia cukup untuk Zamani mara ke peringkat akhir," jelasnya yang lebih mesra disapa Tom Ram itu sewaktu sidang akhbar sejurus konsert tamat.

Menjawab persoalan itu, pengurus saluran Ria, Emmarina Kamal berkata, tidak timbul sebarang isu berkenaan 'menyimpan' Zamani kerana popularitinya memandangkan GV5 adalah sebuah pertandingan.

Menurutnya, pihak produksi memberi sepenuh keyakinan pada pemarkahan yang diberi oleh juri-juri profesional dan tiada sebarang campur tangan yang berlaku.



"Zamani layak kerana usahanya sendiri dan mungkin juga tuah kerana ada dua tugasan," ulasnya lagi.

Sementara itu, Emma turut mengulas tentang konsep lagu duet dan rap bagi pertandingan akhir yang disifatkan bakal mencabar finalis.

"Tahun ini memang kami terapkan konsep duet, namun akan ada kejutan istimewa bagi peringkat akhir. Apa yang pasti, ia tidak akan menjadi laluan mudah bagi peserta merebut gelaran juara," tuturnya lagi.

Selain Zamani, lima lagi peserta yang mara ke peringkat akhir ialah Amelina, Maya Ruslee, Dia Fadilla, Noryn Aziz dan duo berkumpulan Billy Zulkarnain.




www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: