04 January 2019

ISTERI BINA GALERI, TAK MAHU NAMA ZAIBO TERUS DILUPAKAN


"Barang peninggalan arwah sangat banyak, hendak diberi kepada orang anak-anak saya tidak benarkan kerana itu sahaja kenangan yang mereka ada.





"Dari situ timbul idea untuk membina sebuah galeri mini di sebelah rumah, menghimpunkan semua barang-barang berharganya untuk tatapan generasi akan datang.

"Zaibo mungkin sudah tiada tetapi saya tidak mahu kariernya turut sama mati. Sebagai isteri, inilah usaha terakhir saya dan anak-anak untuk menghargainya," demikian kata balu kepada pelakon dan pelawak, Zaibo iaitu Siti Hawa Sawal.

Jelas Hawa, beliau dan anak-anaknya sedang membangunkan sebuah galeri mini bagi menempatkan semua barangan berharga Allahyarham Zaibo untuk tatapan ramai.

Pada 14 November 2018, industri hiburan negara dikejutkan dengan berita pemergiaan Zaibo atau Zainal Ariffin Abd. Hamid, 62, selepas enam bulan dia disahkan menderita kanser esofagos tahap empat.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Hawa berkata, galeri mini dibina di sebelah rumahnya di Rengit, Batu Pahat, Johor itu turut disertakan dengan dua bilik khas buat rakan-rakan dan peminat yang ingin menginap di situ apabila berkunjung ke galeri berkenaan nanti.

Kata Hawa, dia menggunakan wang simpanannya sebanyak RM30,000 untuk membina galeri itu namun bersyukur anak dan menantunya banyak membantu dari segi kerja pembinaan sekali gus menjimatkan kos.

"Arwah selalu pesan kalau dia sudah tiada jangan putuskan silaturahim dengan rakan-rakannya dan dari situ juga timbul idea untuk bina dua bilik yang lengkap dengan ruang tamu, bilik tidur dan tandas sekiranya ada sahabatnya yang menziarah nanti.

"Kalau ada peminatnya yang ingin melawat galeri itu dan ingin tidur pun tiada masalah. Alhamdulillah setakat ini projek membina galeri itu sudah berjalan dan Insya-Allah dalam masa tiga bulan lagi siap," jelas Hawa yang memberitahu tidak pernah berhenti merindui suaminya.



Sementara itu, Hawa memberitahu antara barangan berharga yang akan jadi pameran dalam galeri itu nanti adalah buku resepi tulisan tangan Zaibo.

Dedahnya, Zaibo memang banyak menulis resepinya sendiri malah Allahyarham sentiasa menjadi tempat rujukan rakan-rakan yang mahukan resepi terbaharu.

"Ada juga saya terfikir untuk mencari penerbit buku bagi menerbitkan buku masakan arwah kerana memang banyak resepinya sendiri.

"Bukanlah saya ingin mengaut keuntungan tetapi saya terfikir kenapa tidak saya kongsi ilmunya dengan orang lain namun setakat ini ia sekadar idea.

"Selain buku resepi galeri ini nanti akan menghimpunkan pakaiannya, barangan peribadi termasuk sijil dan trofi kemenangan sepanjang 40 tahun menceburi bidang lakonan," tambahnya.

Untuk makluman, Zaibo meninggal dunia selepas enam bulan mengetahui dirinya menghidap kanser esofagos tahap empat.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: