24 February 2019

SHIMA: "BUKAN BUKA RESTORAN BESAR..... KENAPA ADA YANG DENGKI SANGAT?"


Penyanyi rock era 1990-an, Shima memberitahu beliau berdepan pelbagai dugaan sejak mengusahakan Warung Teringin di depan kediamannya di Apartmen Lestari, Damansara Damai, dua bulan lalu.





Akui penyanyi yang popular dengan lagu 'Teringin' dan 'Setelah Aku Kau Miliki' itu, kesihatannya juga sering terganggu, malah pernah tidak boleh bangun, selain perasaan malas menguasai diri.

"Saya bukan buka restoran besar, sebaliknya hanya berniaga warung tepi jalan. Kenapa ada yang dengki sangat? Pada awalnya, saya fikir mungkin kepenatan selepas berjam-jam terpaksa berdiri untuk memasak setiap hari.

"Namun, sepanjang berniaga, saya sering tidak sihat, selain dihantui mimpi ngeri. Memang pada mulanya, saya tidak mempedulikan perkara itu.

"Tetapi, saya tidak sedap hati apabila empat kucing yang dipelihara sejak 10 tahun lalu sakit dan mati mengejut, sedangkan semuanya sihat sebelum ini," katanya.

Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, berkata, dugaan yang dilalui itu bukan perkara baharu kerana dia pernah sakit teruk ketika muncul dengan album kedua pada 1991.

"Simptom yang sama saya hadapi hari ini seperti tidak boleh bangun, kepala terlalu berat dan hanya mahu berkurung dalam rumah. Ia seolah-olah mahu menutup pintu rezeki saya.

"Lebih teruk, tulang belakang mula membengkak menyebabkan saya hanya terlantar. Tekak pula sentiasa mual, tetapi tidak muntah," tuturnya.

Disebabkan masalah itu, penyanyi yang mula dikenali selepas menyertai kumpulan The Boys pada 1989 itu sudah tidak berniaga lagi sejak tiga minggu lalu.

"Saya tidak larat bangun, tetapi saya tidak mahu melayan tekanan. Jika terlalu diikutkan hati, nanti rumah tangga tidak terurus.

"Seorang teman baik ada membawa saya bertemu pengamal perubatan Islam. Alhamdulillah, sakit saya sudah berkurangan.

"Buat masa ini, biarlah saya berehat dulu kerana belum sembuh sepenuhnya. Memang saya trauma kerana tidak sangka, sampai tahap ini orang sakit hati melihat saya berniaga," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: Beriat Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: