10 March 2019

KEITH FOO: "HUBUNGAN KAMI BAIK-BAIK, BIASALAH ADA PASANG SURUTNYA"


Enggan melatah dengan gosip bertebaran di alam maya, pelakon Keith Foo mengambil pendekatan untuk tidak membiarkan anasir negatif membelenggu kehidupannya. Menafikan sudah berpisah dengan isterinya, Kim Raymond, malah Keith menjelaskan hubungan mereka masih dalam keadaan baik.





Bagi bintang bintang 'Ariana Rose' dan 'Love You Mr Arrogant' ini, setiap perkahwinan pasti ada pasang surutnya, namun segala permasalahan harus diselesaikan secara bersama.

"Hubungan kami baik-baik sahaja dan tiada apa yang ingin dikongsikan mengenai perkara itu. Biasalah, semua rumah tangga ada pasang surutnya dan perkahwinan mana yang tidak mempunyai masalah? Kita hanya manusia dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Apa yang penting, segala masalah dibincang dan diselesaikan bersama. Kadang kala, mereka di luar sana seperti lebih mengetahui perihal rumah tangga saya daripada empunya badan sendiri.

"Sejak dahulu lagi saya memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi terhadap perkara sebegini. Asalkan ia tidak memberikan sebarang kesan kepada saya, gosip seperti ini selalunya dibiarkan lenyap begitu sahaja," jelasnya.

Klik untuk gambar besar


Keith yang enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai hubungan rumah tangganya dengan isterinya itu memberitahu isu tersebut terlalu peribadi untuk dikongsikan dengan masyarakat.

"Apa yang boleh saya katakan, hal rumah tangga adalah sesuatu bersifat peribadi. Buat masa sekarang, hubungan kami baik saja. Kami sibuk dengan hal masing-masing, namun tetap memberikan fokus 100 peratus kepada anak," tuturnya.

Ditanya lagi sama ada timbul isu yang menggoncang keharmonian rumah tangganya, bintang drama 'Dia Isteri Luar Biasa' itu berkata, setiap hubungan tentunya akan ada masalah.

"Biasalah, kalau dalam apa juga hubungan pun tidak kiralah perkahwinan atau percintaan, ada naik dan turunnya. Setiap masalah yang timbul dalam sesuatu hubungan ini juga tentunya akan ada penyelesaiannya," ujarnya.



Status rumah tangga pelakon berusia 36 tahun itu dikatakan menjadi tanda tanya apabila Keith dan Kim jarang berkongsi gambar masing-masing di laman sosial mereka, sejak akhir-akhir ini.

Malah, aktor itu yang mendirikan rumah tangga dengan Kim pada 2015 juga sering memuatnaik gambar anak perempuan mereka, Skylar Raymond Foo, dengan keterangan berbaur kerinduan.

Diminta mengulas mengenai komen warganet yang rata-rata membuat spekulasi kononnya dia tidak lagi tinggal sebumbung dengan isteri, Keith memilih untuk membiarkan saja tindakan mereka.

"Biarkan saja kepada mereka untuk bercakap apa pun. Kadang-kadang, warganet ini bertindak seperti mereka tahu semuanya yang berlaku. Selagi komen dan spekulasi mereka tidak merugikan saya, saya okey. Sekurang-kurangnya, mereka ada sesuatu yang diperdebatkan," katanya.



Sementara itu, Keith menjelaskan, dia tidak berdepan kesukaran untuk menguruskan anak perempuannya yang sudah menunjukkan sikap suka berdikari pada usia dua tahun.

"Anak saya kini sudah mula hendak mencantum ayat biarpun belum berusia dua tahun. Malah, dia juga senang diuruskan kerana tahu rutin harian seperti waktu makan, tidur, menonton televisyen dan sebagainya. Saya kagum melihat perkembangannya yang pesat walaupun dilahirkan tidak cukup bulan.

"Malah, saya dan isteri memilih untuk menghantarnya ke 'playschool' sejak awal lagi kerana ingin mendidiknya belajar berkawan dan bergaul. Kami berasakan penting untuk kanak-kanak meluangkan masa bersama bagi menjana perkembangan minda mereka,” kata Keith.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Keith yang sudah lama tidak dilihat kelibatnya di kaca televisyen bakal menganjurkan majlis amal derma darah dalam tempoh terdekat.

Untuk makluman, Keith dan Kim berkahwin pada 30 November 2015 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Skylar Raymond Foo pada 30 Mei 2017.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: