09 March 2019
LAUGH FACTORY SAMAN BALAS RM40 JUTA - HARITH ISKANDAR NAFI DAKWAAN
Pelawak Harith Iskander sebelum ini memfailkan saman terhadap Laugh Factory atas dakwaan gagal melunaskan baki wang kemenangan berjumlah AS$70,000 (RM280,000) daripada AS$100,000 (RM400,000) selepas menjuarai pertandingan Funniest Person In The World pada Disember 2016.
Terkini, Harith berdepan saman balas berjumlah RM40 juta (AS$10 juta) daripada pihak Laugh Factory di Amerika Syarikat. Rabu lalu, Hollywood Reporter melaporkan Laugh Factory yang juga pihak penganjur pertandingan itu memfailkan saman berkenaan pada 27 Februari lalu di mahkamah di California, Amerika Syarikat.
Laugh Factory menuntut ganti rugi atas dakwaan pelanggaran cap dagangan, penyelewengan rahsia dagangan, pelanggaran kontrak, persaingan tidak adil dan gangguan yang disengajakan dengan kelebihan ekonomi calon. Selain itu, penganjur turut memohon supaya mahkamah membatalkan keuntungan Harith dan ganti rugi punitif.
Menurut penganjur, mereka memaklumkan secara bertulis kepada Harith bahawa pemenang pertandingan 'mesti membuat 10 perjalanan berjadual ke Amerika Syarikat' untuk membuat persembahan dan wang kemenangan AS$100,000 akan dibayar sebanyak 10 kali. Bagaimanapun, Harith dikatakan gagal berbuat demikian selain menipu untuk menang.
Klik untuk gambar besar
Dalam pada itu, pemilik Laugh Factory, Jamie Masada mendakwa Harith menawarkan untuk membuka kelab Laugh Factory di Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta. Jamie turut mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah rakan kongsi senyap dalam perniagaan Harith.
Sementara itu, Harith dalam kenyataannya menerusi Facebook berkata, dakwaan mengaitkan dirinya dengan Najib adalah tidak benar. Harith berkata, dia tidak mampu mengawal sebarang desas-desus serta penyebaran tuduhan tidak berasas dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang berbuat sedemikian.
"Dakwaan itu sama sekali tidak benar. Saya serahkan perkara ini kepada pasukan peguam untuk mengendalikannya," katanya. Saya hanyalah pelawak dari Malaysia yang niatnya ingin membuat negara bangga atas kemenangan dalam pertandingan peringkat antarabangsa.
"Saya sekadar menuntut hak kemenangan seperti yang dijanjikan. Tiada lebih, tiada kurang. Pada tahap ini, saya sebenarnya sudah membelanjakan lebih daripada apa yang diterima," ujarnya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, mStar & Beautifulnara
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment