23 March 2019

NABIL AHMAD: "LEBIH RAMAI ORANG MENYAMPAH, BERTAMBAH TINGGI DIPERKATAKAN"


Nampaknya kritikan dan sendaan pihak tertentu mengenai bakat nyanyian pelawak dan pengacara Nabil Ahmad nyata memberikan impak apabila video lagu 'Pening' yang dikongsi menerusi YouTube sejak 23 Januari lalu mendapat sambutan peminat.





Nabil yang juga pernah menjadi seorang pelakon itu bersyukur apabila rasa menyampah sesetengah netizen terhadap nyanyiannya membolehkan video muzik 'Pening' meraih hampir 1.3 juta tontonan, kira-kira tiga minggu selepas single berkenaan dilancarkan.

"Saya tidak kisah pun kerana sejak awal menghasilkan lagu ini, saya sudah bersedia untuk berdepan cemuhan. Malah, bagi saya, lebih ramai orang menyampah, bertambah tinggi kebarangkalian nyanyian saya diperkatakan.

"Pada masa sama, kita kena sentiasa berfikiran positif kerana kelompok yang memberikan komen membina juga setara, sekali gus membuktikan lagu ini tetap menerima pujian," katanya yang pernah merakamkan single dengan Aziz Satar sebelum ini.

Berbeza dengan 'Pening' yang dirakam secara solo, lagu berjudul 'Baik Punya' itu dihasilkan bagi kempen pelancongan, bukan untuk pasaran komersial.

Klik untuk gambar besar


Terdahulu, kemunculan kali kedua selebriti berusia 36 tahun itu dengan dendangan ciptaan DJ Fuzz manakala lirik olehnya bersama Waris dicop sebagai sumbang. Bahkan, sesetengah netizen meminta Nabil menumpukan sahaja perhatiannya terhadap bidang pengacaraan dan lakonan.

Tegas Nabil, segala cemuhan tidak mematahkan semangatnya untuk menerbitkan single kedua dalam masa terdekat. Dia juga akan terus mengekalkan khidmat DJ Fuzz dan Waris bagi lagu terbaru nanti, selain tetap mengetengahkan konsep senda gurau.

"Sebelum ini, memang ramai rakan seangkatan (pelawak lain) tampil dengan single, tetapi dendangan saya berbeza. Selepas Pening, saya mahu menumpukan perhatian terhadap dendangan komedi.

"Pelawak dahulu juga pernah muncul dengan lagu sebegini, termasuk Jalil Hamid, Allahyarham Din Beramboi dan Shamsul Ghau Ghau, yang memang bertepatan dengan identiti masing-masing. Jadi saya ingin menyambung usaha mereka," ujarnya lagi.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: