16 March 2019

"SAYA KENAL SIAPA DIRINYA..." - ATIKAH KECEWA BEKAS TUNANG DIHENTAM


"Terima kasih atas sokongan dan doa yang diberikan. Tiada lagi air mata yang perlu ditangisi. Dalam rasa terkilan kerana majlis perkahwinan yang tidak menjadi, saya lebih kecewa apabila melihat orang ramai menghentam insan yang saya cintai, di Instagram.





"Anda tidak boleh berbuat demikian kerana anda tidak mengenalinya. Anda juga tidak boleh bercakap buruk mengenainya. Saya kenal siapa dirinya...

"Dia menjaga saya, begitu juga nama baik saya dan keluarga," kata pelakon Atikah Suhaime menerusi video yang dikongsi di laman Instagramnya semalam.

Atikah meminta orang ramai berhenti menghentam bekas tunangnya, penyanyi Awi Rafael, atas pembatalan pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung Ahad ini.

Klik untuk gambar besar


Pemilik nama penuh Nur Atikah Mohd Suhaime, 28, berkata semua yang berlalu adalah suratan takdir dan Awi sendiri tidak bersalah dalam hal terbabit. Lebih-lebih lagi, menurut bintang 'Cinta Tiada Ganti' itu, bekas tunangnya seorang yang penyayang.

Dalam pada itu, Atikah turut meminta netizen agar tidak menyalahkan bapanya yang membuat keputusan membatalkan perkahwinan mereka.

Pelakon kelahiran Singapura yang dikenali menerusi filem 'Longkai', 'Highland Tower' dan 'Lagenda Budak Hostel' itu berkata, sebagai bapa, pasti orang tuanya mahukan yang terbaik buat anaknya.



"Saya tidak menyalahkan dia (bapa). Saya percaya, dia tahu dan mahu yang terbaik buat anak perempuannya. Sepanjang tempoh itu juga, saya dalam keadaan tidak boleh menerima hakikat dan tetap meneruskan persiapan perkahwinan. Bagaimanapun, saya tetap akur.

"Jadi, tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Berhenti mengecam sesama sendiri kerana pada penghujungnya, ia adalah takdir yang sudah tertulis dan kita haru menerimanya dengan hati terbuka," ujarnya.

Untuk makluman, Atikah dan Awi atau nama lengkapnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael mengikat tali pertunangan pada 17 Mac tahun lalu, di Singapura.

Awi menerusi laman Instagramnya kelmarin, mengumumkan terpaksa membatalkan majlis pernikahan mereka atas sebab tertentu. Tanpa memberikan alasan majlis pernikahan yang dirancang diadakan di Kota Singa itu tidak dapat diteruskan, penyanyi terbabit turut meminta semua pihak memahami situasi dilaluinya dan menghormati keputusan dibuat.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Atikah Suhaime & Awi Rafael


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: