15 June 2019

BENGANG DISURUH BUAT UJIAN DNA ANAK - ABAM MAHU BERSEMUKA & 'CIUM PIPI'


"Saya tak kisah kalau orang nak komen benda lain tapi bila sebut sampai perlu buat ujian DNA, itu dah melampau. Benda-benda macam ini bukan boleh buat main, apa dia fikir isteri saya mengandung anak orang lain ke? Komen itu terlalu kurang ajar...





"Kalau nak bergurau bukan itu caranya, nak kata saya punya kecil ke kura-kura ke saya tak ambil pusing, tapi bukan komen sensitif begitu," demikian kata pelawak Abam Bocey yang bengang dengan tindakan seorang netizen yang meninggalkan komen di media sosial meminta dia melakukan ujian DNA ke atas anak sulung lelakinya yang dilahirkan seberat 3.55 kilogram semalam (Jumaat - 14 Jun 2019) di Hospital Selayang, Selangor.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 31, berkata komen yang ditulis lelaki itu keterlaluan dan menyinggung perasaannya sebagai seorang bapa. Sementara itu, Abam berkata dia sedang menyiasat mengenai lelaki berkenaan dan ingin bersemuka bagi mendapatkan penjelasan berhubung komen tersebut.

"Saya nak berjumpa dengan lelaki itu dan tanya kenapa dia tinggalkan komen macam itu. Melalui akaun dia kata boleh kesan siapa pemiliknya cuma buat masa ini belum terfikir tindakan undang-undang," ujarnya yang berkahwin dengan Siti Norhidayah pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Kuala Selangor.

Klik untuk gambar besar


Selain itu, ada beberapa lagi pengikut Abam di facebook turut memberikan komen tidak sepatutnya dan berbaur lucah. Membalas kembali komen diberikan netizen yang dianggap Abam satu penghinaan yang sangat dahsyat, dia mahu bertemu dengan lelaki terbabit.

"Kalau bukan DNA saya, habis anak siapa. Maaf saya amat tersinggung dengan komen begini. Nak cakap 'benda' itu kecil atau kura-kura ke saya tidak kisah sangat, tetapi mempertikaikan status anak ia satu penghinaan. Saya mahu bertemu dengan pak cik ini. Mahu bertemu sangat-sangat," tulisnya.

Ditanya adakah Abam akan mengambil tindakkan undang-undang terhadap lelaki terbabit, katanya sewaktu dihubungi hari ini, dia hanya mahu berjumpa: "Insha-Allah saya mahu berjumpa sahaja. Saya bukan nak buat apa-apa pun, saja hanya mahu 'cium' pipi dia, supaya tidak bersikap tidak siuman".






www.myartis.com / Sumber: mStar & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: