30 June 2019
RANCANG NIKAH TAHUN INI - ZARA ZYA & HAFREEZ ADAM TERPAKSA TANGGUH
Dek kerana jadual kerja terlalu padat, impian dan perancangan pasangan pelakon Zara Zya dan Hafreez Adam untuk menamatkan zaman solo tahun ini terpaksa ditangguhkan. Zara berkata, perancangan untuk berkahwin terpaksa ditunda ke tahun depan dan berharap segala perancangan menuju ke gerbang perkahwinan dipermudahkan.
"Kalau diikutkan memang kami merancang untuk bernikah tahun ini tetapi masing-masing sibuk dengan kerja. Bagaimanapun, baru-baru ini Hafreez ada bertemu dengan keluarga saya untuk membincangkan beberapa perkara seperti majlis merisik sebelum majlis pernikahan.
"Majlis perkahwinan tidak akan berlangsung tahun ini. Kami enggan terburu-buru kerana soal nikah kahwin adalah satu tanggungjawab yang besar dan memerlukan persiapan rapi," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk pelangsingan badan yang diasaskan olehnya bertempat di Hotel Majestic.
Klik untuk gambr besar
Menurut pelakon drama bersiri 'Monalisa', selepas impian untuk bernikah tahun ini tidak tercapai, dia dan Hafreez enggan meletakkan sasaran atau tarikh spesifik bagi hari bahagia mereka.
"Bermula awal tahun ini saya sibuk dengan urusan perniagaan manakala Hafreez pula terikat dengan penggambaran drama 80 episod. Tanpa kami sedar, masa berlalu dengan cepat dan sudah memasuki pertengahan tahun. Jadi, bagaimana nak merealisasikan hasrat berkahwin dalam tahun ini.
"Oleh itu, saya tidak mahu memberikan tarikh kerana enggan menimbulkan salah faham. Nanti, ada yang mengeluarkan spekulasi dan andaian kurang enak sekali gus timbul fitnah. Kata-kata itu ibarat doa, jadi saya mahu yang baik-baik buat saya dan Adam," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Zara Zya
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment