30 June 2019

SELESA IMEJ ISLAMIK - TAIYUDDIN TETAP TERUSKAN LAKONAN TAPI MEMILIH


Pelakon Taiyuddin Bakar atau mesra dengan sapaan Tai, 37, tidak akan melupakan karier seninya meskipun dirinya kini selesa tampil dengan imej Islamik. Kata Tai, lakonan tetap diteruskan, namun dia bersikap lebih memilih dengan memberi penelitian terhadap watak serta jalan cerita karya ditawarkan kepadanya.





"Saya bersikap memilih watak dan karya bukan disebabkan berasa diri sudah bagus tetapi lebih ke arah pengisian karakter serta mesej yang dibawa dalam sesebuah naskhah. Apapun, saya tidak menolak komedi. Bagi saya, tidak ada salahnya komedi asalkan pengisiannya positif dan ada isi," katanya.

Mengulas lanjut perihal kerjaya, Tai berkata, dia akan muncul dengan dua filem tidak lama lagi iaitu 'Geran' arahan Aril Abu Bakar dan 'Master Picisan' yang mendapat sentuhan NamRon selaku sutradara.

"'Geran' mengetengahkan kisah berkaitan seni pertahanan diri masyarakat Melayu seperti silat gayong. Ia membabitkan warisan bangsa. Dalam 'Master Picisan' pula, ia mengembalikan saya kepada watak komedi yang pernah dilakonkan satu ketika dahulu. Apapun, jalan ceritanya sangat menarik," tuturnya.

Klik untuk gambar besar


Selain itu, Tai juga bakal menjayakan pementasan teater 'Neo Disiden' yang skripnya ditulis Siti Jasmina Ibrahim. Pelakon filem 'Apa Celop Toq' itu memaklumkan dia melakonkan watak antagonis bernama Antonius atau Anthony yang menjadi perancang utama pemberontakan.

"Saya tertarik menyertai pementasan ini kerana jalan ceritanya kena dengan senario kehidupan masyarakat dan negara masa kini. Meskipun Neo Disiden karya klasik tetapi pengisian jalan ceritanya mantap dan berkesan. Saya yakin penonton pasti terkesan selepas menyaksikannya," ujar Tai.

Teater 'Neo Disiden' arahan Khairunazwan Rodzy akan dipentaskan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 19 hingga 21 Julai nanti Panggung Eksperimen ASWARA. Selain Tai, teater Neo Disiden membariskan pelakon utama lain seperti Amirul Affendi, Along Eyzendy, Mustaqim Mohamed, Hairi Safwan, Rosden Suboh dan Kirin Muhamad.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Taiyuddin Bakar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: