08 July 2019

DOA PEMINAT KE 'JINJANG PELAMIN' - DAYANG HARGAI, HAEL AMINKAN


Ramai peminat yang berharap hubungan Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini akan melangkah ke fasa lebih indah selepas baru-baru ini melihat perkongsian gambar mereka berpakaian sedondon ketika beraya bersama yang dimuatnaik di laman Instagram. Melihat penerimaan peminat dari sudut positif, Dayang secara peribadi mengakui, serasi dengan Hael kerana penyanyi itu ialah antara rakan artis yang paling rapat dengannya.





"Saya tahu ramai peminat mendoakan dan mengharapkan perkara yang baik akan berlaku dalam hidup kami. Dalam hal ini, saya tidak perlu melatah, sebaliknya melihat penerimaan itu dari sudut positif. Saya juga anggap gosip mengaitkan saya dan Hael sebagai perkara biasa kerana kami memang rapat serta selesa bekerjasama. Mungkin kerana itu, peminat mengharapkan hubungan kami lebih daripada sekadar kawan.

"Apa yang saya boleh katakan, Hael antara rakan duet paling serasi dengan saya. Dia mampu memberikan magis setiap kali kami tampil di pentas dan ia membuatkan saya selesa setiap kali bergandingan dengannya," katanya ketika mengulas mengenai foto yang diambil bersama anak saudaranya, Zahraa Aiesha dan anak angkat Hael, Helena.

Baru muncul dengan single rancak, 'Sebentar' ciptaan Faizal Tahir, Faizal Tahir, Mage, Mike Chan dan Romeo, Dayang dilihat sebagai antara penyanyi yang berjaya mencipta nama dengan imej bersih, selain tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana lelaki.

Klik untuk gambar besar


"Saya belum pernah bercinta, mahupun memiliki kekasih. Setakat ini, tiada siapa yang berani mendekati atau cuba mengetuk pintu hati. Saya memang memilih lelaki yang hendak dijadikan calon suami kerana kalau boleh, perkahwinan itu biar hanya sekali seumur hidup," ujarnya yang bakal menjayakan 'Konsert Dayang Dua Dekad' di Istana Budaya pada 21 Julai ini, sehari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-38.

Hael yang mula menjadi sebutan selepas dirinya dan Dayang bergabung dalam lagu 'Haram', sekali gus menggondol gelaran Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu 33, itu mengakui sentiasa mengaminkan doa peminat yang mengharapkan supaya dia dan Dayang disatukan sebagai pasangan. Penyanyi lagu 'Jampi' itu juga mengakui bahawa Dayang kini adalah wanita yang rapat dengannya.

"Dia (Dayang) antara orang yang rapat dengan saya. Kami kerap berjumpa dan kebanyakan perjumpaan adalah untuk berbincang mengenai kerja. Kahwin ini satu doa dan saya serahkan soal jodoh kepada Allah. Kalau mereka (peminat) doakan, saya aminkan. Selagi benda ini baik, saya okey," tuturnya.



Menurutnya, hubungannya dengan penyanyi lagu 'Lelaki Teragung' itu sangat akrab dan profesional: "Saya memang pernah taksub dengan Dayang dan apabila dapat bekerjasama, ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan. Bila dapat bekerjasama dengannya, tentunya saya sangat menjaga hubungan ini secara profesional".

Ditanya mengenai tanda pagar (hashtag) #HaeYang yang digunakan beribu kali di media sosial oleh peminat, Hael menganggap itu sebagai tanda penghargaan peminat: "Sebenarnya, tanda pagar ini dicipta bukan dirancang. Kalau tanya perasaan saya, lebih kepada rasa terharu sebab bagi kami, tanda pagar ini seperti tanda penghargaan.

"Jadi, semua yang dilakukan menjadi perbualan peminat dan mereka ingin mengambil tahu mengenai kami. Dengan adanya tanda pagar ini, akan jadi lebih mudah untuk mereka cari di media sosial," jelasnya yang juga memberitahu, berkemungkinan besar dia dan Dayang akan bersatu lagi dalam projek lain selepas ini.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro, Instagram Dayang Nurfaizah & Hael Husaini


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: