10 July 2019

TEKA-TEKI BERAKHIR - FIZO OMAR & MAWAR SAH CERAI TALAK SATU


Setelah berteka-teki mengenai kontroversi rumah tangga pelakon dan usahawan, Fizo Omar, 34, dan isterinya, Mawar Abdul Karim, 30, yang dikatakan bergolak itu akhirnya terjawab apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pagi hari ini.





Lafaz cerai itu dibuat, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar selaku defendan terhadap Mawar sebagai plaintif di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan pukul 10.55 pagi. Che Abdullah yang mendengar lafaz cerai itu, kemudian mensabitkan perceraian dengan talak satu terhadap pasangan itu dan memerintahkan Mawar menjalani tempoh edah selama tiga bulan termasuk Fizo perlu mendaftarkan perceraian mereka dan sijil nikah dibatalkan.

Permohonan cerai tersebut dibuat Mawar mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 17 Jun lalu. Terdahulu semasa prosiding, Che Abdullah bertanya adakah Fizo bersetuju untuk menceraikan isterinya, selebriti itu menjawab dia bersetuju kerana tiada keserasian dan persefaham antara mereka sejak beberapa bulan lalu.

Klik untuk gambar besar


Difahamkan penceraian tersebut berpunca dari masalah keluarga dan tidak melibatkan orang ketiga. Dalam prosiding itu, Mawar diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong, manakala Fizo tidak diwakili peguam syarie. Dalam laporan sebelum ini, Fizo dalam satu kenyataan memberitahu dia belum bersedia untuk memperincikan desas-desus berhubung kemelut rumah tangga apabila isteri­nya dilaporkan sudah mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Fizo berkata, buat masa ini adalah lebih baik dia mengambil keputusan untuk tidak bercakap lebih lanjut mengenai hal rumah tangganya. Ketika ditanya tentang laporan kesahihan satu ruangan akhbar tempatan yang mendakwa dia dan isteri menyambut Aidilfitri secara berasingan, Fizo menjelaskan bahawa dia baru dimaklumkan mengenai laporan tersebut dan mengambil keputusan untuk mengunci mulut.

Untuk makluman, Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan hasil kesabaran selama empat tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang dilahirkan pada 29 Disember 2017 secara pembedahan di Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur dan kini berusia dua tahun.










www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: