30 August 2019

CEDERAKAN PEKERJA, HALANG POLIS - ZYNAKAL DIDENDA RM2,800


Penyanyi Budak Baru nak Up (BBNU) dan juga komposer, Zynakal telah didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang atas kesalahan mencederakan pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas. Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 21, selepas tertuduh mengaku salah ke atas kedua-dua pertuduhan itu.





Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, Zynakal didenda RM800 dan bagi pertuduhan menghalang penjawat awam, dia didenda RM2,000. Tertuduh berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu. Mengikut pertuduhan, Zynakal didakwa mendatangkan kecederaan terhadap pekerja stesen minyak yang juga seorang warga Bangladesh, Ahmad Mostak di stesen minyak di Pandan Prima, Ampang, 3 petang, pada 28 Ogos lalu.

Penyanyi terbabit yang tidak berpuas hati dengan mangsa telah menumbuk dada lelaki warga asing berusia 28 tahun. Suspek kemudiannya menarik baju serta memaki hamun warga asing berkenaan dengan perkataan yang tidak senonoh. Noor Azmi memberitahu, anggota polis yang tiba kira-kira lima minit kemudian telah memeriksa sebuah kereta yang dinaiki suspek bersama seorang lagi lelaki.

Klik untuk gambar besar


Bagaimanapun katanya, suspek dengan nada yang marah juga telah mempertikaikan kuasa polis untuk mendapatkan kerjasama dengan menunjukkan MyKad miliknya bagi bagi tujuan pemeriksaan di tempat sama, 3.30 petang, pada 28 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya. Bagi pertuduhan itu, Zynakal didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda yang rendah, dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai penulis lirik dan komposer. Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: