01 August 2019

RANCANG TUNAI HAJI - PU RIZ MENANTI JAWAPAN PEROLEH VISA


"Saya masih menanti jawapan untuk memperoleh visa, andai ia diperoleh insya-Allah akan bertolak ke Tanah Suci 7 Ogos ini," ujar bekas peserta program realiti Pencetus Ummah (PU), Riz yang merancang menunaikan haji bagaimanapun segalanya bergantung kepada kebenaran untuk memperoleh visa.





Selepas Erra Fazira dan Noor Neelofa dikhabarkan akan menunaikan ibadah haji pada bulan ini, PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail, 24, juga antara selebriti yang turut diberitakan bakal menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Bercerita lanjut mengenai perancangannya itu, Riz berkata, dia sudah lama menyimpan impian untuk menunaikan ibadah haji walaupun masih muda: "Saya pernah terbaca buku mengenai fadilat apabila kita menunaikan ibadah haji dalam usia muda.

"Dalam menyimpan impian tiba-tiba ada tawaran datang daripada syarikat Manzil Travel and Guide. Bagaimanapun saya faham disebabkan tawaran datang di saat akhir sudah tentu urusan visa juga lambat. Keutamaan diberikan kepada mereka yang melakukan ibadah haji muassasah di bawah Tabung Haji," katanya yang juga bergelar pelakon.

Klik untuk gambar besar


Menurutnya, dia sedar bukan mudah untuk dipanggil menjadi tetamu Allah dan menunaikan haji. Apatah lagi pelakon utama filem 'Ada Apa Dengan Dosa' itu begitu berharap dapat berdoa pada waktu wukuf: "Peluang melaksanakan wukuf di Arafah dan berdoa tidak akan dilepaskan oleh sesiapa pun. Memang menjadi impian saya, kerana doa di sana mabrur. Saya menyimpan cita-cita ini sejak kecil".

Riz berkata, andai tidak memperoleh visa pihak Manzil Travel and Guide akan memulangkan kembali wang deposit dan ia bukan satu masalah. Malah katanya, pakej yang ditawarkan kepadanya juga bukanlah mencecah harga ratusan ribu ringgit.

"Cuma jujurnya apabila peluang sudah di depan mata tetapi saya tidak memperolehnya di saat akhir, sudah tentu ada perasaan kecewa. Memang saya masih muda dan peluang terbuka, Insya-Allah. Cuma kalau dapat melaksanakan dalam usia muda ini lagi bagus. Saya hendak sangat pergi menunaikan haji dan harap Allah bagi," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram PU Riz


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: