11 August 2019

SELESA KAWAN LELAKI, KURANG 'DRAMA' - SISSY MAHU PENGAPIT LELAKI


"Apabila ada ramai kawan lelaki, saya susah nak ada kekasih. Mungkin sudah terlalu selesa berkawan dengan mereka, saya tiada keinginan untuk bawa hubungan itu ke fasa lebih serius. Bagaimanapun, tidaklah bermaksud saya tidak akan bercinta, cuma buat masa ini lebih selesa berkawan saja dengan semua orang.





"Mungkin jodoh saya belum sampai, maka tidak terbuka hati," demikian kata penyanyi Sissy Imann mengenai keakrabannya dengan ramai rakan lelaki membuatkan penyanyi lagu 'Pesanan Ayahanda' ini belum terbuka hati untuk bercinta. Bukan terlalu memilih, cuma dia belum jumpa lelaki yang benar-benar memahami dirinya.

Tambah Sissy, dia mengakui selesa berkawan dengan ramai lelaki berbanding perempuan kerana mereka kurang 'drama'. Malah Sissy turut pernah menyatakan hasrat kepada bapanya untuk mempunyai pengapit lelaki di majlis persandingannya nanti.

"Kalau berborak atau nak cakap apa-apa isu golongan lelaki kurang sentap tetapi kalau dengan perempuan saya takut mereka cepat kecil hati. Kawan perempuan yang ada memang boleh dikira dengan jari. Saya juga pernah luah hasrat kepada ayahanda, nak pengapit lelaki kalau saya kahwin nanti," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Sissy berkata, dalam mencari teman hidup dia memerlukan seseorang yang boleh menerima matlamat dan sasaran yang diinginkannya: "Saya individu yang tidak boleh duduk diam. Saya mahu cari rezeki untuk keluarga. Mungkin ada sesetengah lelaki apabila berkahwin mereka mahu fokus kepada dirinya saja atau suruh saya duduk rumah.

"Walaupun satu hari nanti saya ada suami, saya berasakan tanggungjawab saya sebagai anak itu masih ada dan perlu bekerja. Harapnya bakal suami nanti boleh terima. Saya perlukan teman hidup yang betul-betul memahami diri saya dan faham tanggungjawab yang saya perlu pikul sebagai seorang anak," jelasnya.

Ditanya mengenai kriteria fizikal yang dicari, menurut Sissy dia tidak menekankan aspek fizikal sebaliknya lebih tertarik kepada individu yang bijak: "Bagi saya, rupa tidak penting. Kalau saya dah suka, saya akan suka individu itu. Tidak ada kriteria khusus kerana saya lebih melihat kepada personaliti individu itu.



"Sungguhpun begitu, saya lebih suka lelaki yang banyak tahu hal-hal yang saya tidak tahu. Jadi, perkara yang saya tidak tahu, dia boleh kongsikan dengan saya. Ini kerana, saya lebih tertarik dengan kepintaran dan kebijaksanaan seseorang. Golongan seperti saya ini dikenali sebagai sapioseksual," katanya yang bakal muncul dalam drama 'Kariah Cakpong'.

Dalam pada itu, Sissy kini mengembangkan bakatnya dalam dunia pengacaraan. Katanya, dia berasa bimbang untuk mengendali program lawak buat kali pertama namun menganggap ia satu pengalaman baharu untuknya: "Sebelum ini saya pernah jadi pengacara untuk dua program muzik tetapi untuk program lawak, ini kali pertama.

"Mula rasa gemuruh nak jadi pengacara program lawak kerana pasti ada benda tidak dijangka terjadi tetapi seronoknya saya dapat pengalaman baharu. Saya bersyukur kerana pelawak mengambil bahagian dalam program itu sangat membantu sekali gus membuatkan saya berasa selesa," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Sissy Imann


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: