14 August 2019

WANY SAYU LIHAT KAABAH - AMIRA TAK SANGKA DI USIA MUDA


Penyanyi Wany Hasrita dan Amira Othman menerusi laman Instagram milik masing-masing telah berkongsi pengalaman mengerjakan haji dan menyifatkan perjalanan menunaikan Rukun Islam kelima itu pada usia muda sebagai pengalaman paling indah dalam hidup mereka.





Melihat pada entri yang dimuatnaik oleh Wany, dia berasa gembira dan bersyukur urusannya sepanjang mengerjakan ibadah haji di Makkah itu dipermudahkan. Wany, 27, berkata hatinya diselubungi sayu apabila kali pertama menatap Kaabah dan perjalanan melengkapkan itu disifatkan luar biasa serta sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

"Alhamdulillah, selesai sudah ibadah haji saya di sini. Perjalanan haji saya sangat luar biasa. Dari sampai di sini dan menjaga dalam ihwam, berwukuf di Arafah, beberapa ketika hujan selebat-lebatnya. Terus ke Muzdalifah mengutip batu untuk jamrah. Kemudian selepas setengah malam kami ke Masjidil Haram untuk tawaf dan saie," katanya.

Tambah Wany, dia mengalirkan air mata ketika kali pertama memandang Kaabah ketika di Makkah: "First time pandang Kaabah, Tuhan je tahu rasanya. Sepanjang tawaf mata tak berkelip pandang Kaabah tak percaya depan mata. Habis saie, baru lega! Dah boleh tahalul! Terus ke Mina untuk bermalam selama 3 hari. Alhamdulillah urusan jamrah pun Allah permudahkan sampilah tawaf selamat tinggal tadi".

Klik untuk gambar besar


Wany dijemput sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan haji pada 7 Ogos lalu setelah dipelawa oleh kedutaan Arab Saudi di Malaysia. Penyanyi lagu 'Menahan Rindu' itu berangkat ke tanah suci Makkah bersama rakan penyanyi Amira Othman.

Sementara itu, Amira pula berkata, dia tidak pernah menyangka memperoleh rezeki untuk menunaikan haji pada usia 26 tahun: "Semua itu sudah Allah susun dan atur, malah banyak yang saya pelajari sepanjang perjalanan mengerjakan haji. Saya sedar apa yang ada di dunia ini seperti pangkat, harta atau nama hanya pinjaman.

"Kita semua sama di sisi Allah. Saya berterima kasih kepada Wany yang menghubungi saya selepas mendapat jemputan ke Tanah Suci. Memang ajaib, tetapi Allah sudah tulis semua ini. Moga ada rezeki untuk saya kembali ke sini," kata Amira yang akan kembali ke tanah air bersama Wany pada Jumaat ini dan pemergian mereka ke sana adalah atas undangan kerajaan Arab Saudi.






www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak, Berita Harian & Instagram Wany Hasrita


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: