22 October 2019

JAKET ANTARA DILELONG - TAHLIL & PERSEMBAHAN ARWAH YAZIT BAKAL DIADAKAN


Barangan kesayangan bekas pemain dram kumpulan Search, Allahyarham Yazit Ahmad iaitu jaket kulit yang dipakai arwah dalam konsert Search dan Rampage ketika hayatnya antara yang bakal dilelong pada acara di i-Cafe Bikerstation, Sungai Buloh, Jumaat ini.





Lelongan koleksi peribadi pemain dram terkenal itu menjadi aktiviti sampingan dalam majlis Persembahan Mengenang Jasa Allahyarham Yazit Ahmad yang dikelolakan sekumpulan teman karib pemuzik itu. Mewakili teman penganjur majlis, Yunos Surano memberitahu, semua barangan yang dilelong memiliki nilai sentimental dalam perkembangan karier seni Yazit sejak berjinak-jinak dengan muzik seawal usia 15 tahun.

"Antara koleksi peribadi yang bakal dilelong adalah persalinan yang dipakai Yazit ketika konsert. Ini termasuk sehelai jaket kulit selain kayu dram 'Sang Gendang' milik arwah yang kerap digunakan. Beberapa acara lain dirancang sebelum persembahan amal bermula. Namun, paling utama adalah kenduri tahlil untuk arwah. Kami akan 'menumbangkan' seekor lembu bagi menjamu tetamu," katanya.

Yunos berharap lebih banyak pihak dapat menghadiri majlis tahlil dan persembahan mengenang arwah: "Persembahan amal membabitkan ramai artis popular. Kami membuka meja untuk jualan di mana sebuah meja untuk 10 orang pada kadar RM350".

Yunos berkata, pihaknya bersyukur dapat memenuhi beberapa hajat arwah yang sebelum ini merancang membawa kumpulannya, Rampage mengadakan persembahan di kafe berkenaan: "Dua minggu sebelum pemergian arwah, kami ada berbincang mengenai Rampage. Arwah menyatakan hasrat membawa Rampage mengadakan persembahan di premis berkenaan, namun, niat tidak kesampaian.

"Arwah juga meluahkan hasrat mahu menunaikan umrah. Jadi, kami berbesar hati apabila sebuah syarikat, In Saff Travel & Tour menaja balu Allahyarham berangkat ke Makkah, tahun depan... Alhamdulillah,” ujarnya.

Sementara itu, program yang bermula jam 8.30 malam itu bakal diserikan persembahan Man Kidal, Oma Akira, Burnmark, Zul Handy Black, Assalam Band dan Rampage. Dianggap antara pemain dram terbaik negara, Yazit menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung, pada 26 September lalu. Allahyarham meninggalkan balu, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, serta Shamirnuri, 34, dan Syafiqa Nurlis, 29.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: