15 October 2019

TERHANTUK KETIKA MAIN FUTSAL - VOKALIS AZARRA BAND HILANG INGATAN


Vokalis kumpulan Azarra Band iaitu Ejai Aziz atau nama sebenarnya Mohd Azrizal Aziz, 32, telah mengalami kecederaan di kepala akibat kemalangan ketika bermain futsal pada malam Ahad dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Salah seorang ahli kumpulan itu iaitu Mohd Hairol Azhar berkata, doktor mengesahkan Ejai mengalami pendarahan di kepala akibat gegaran yang kuat di otak sehingga menyebabkannya hilang ingatan.





"Dia pergi bermain futsal bersama kawan-kawannya dan saya diberitahu dia terjatuh dan kepalanya terhantuk kemudian dia terus dibawa ke hospital. Doktor beritahu ada gegaran pada otaknya sehingga membuatkan dia hilang ingatan. Kami terkejut apabila mengetahui perkara ini, bingung jadinya apabila Ejai tidak dapat mengenali individu terdekat seperti keluarga dan rakan-rakan," ujarnya.

Mohd Hairol berkata, mereka terpaksa membatalkan beberapa persembahan yang dijadualkan dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada Ejai untuk berehat: "Kami ini belum terima sebarang perkembangan lanjut kerana dia masih berada dalam pemerhatian pakar, namun setakat ini kami terpaksa menangguhkan beberapa persembahan bagi memberi ruang kepadanya untuk sembuh".

Dalam pada itu, dia turut meminta orang ramai agar mendoakan kesihatan penyanyi itu. Selain Ejai, Azarra Band yang popular dengan lagu 'Alalala Sayang' itu turut dianggotai oleh Mohd Khairul Azam, Mohd Fauzan dan Mohd Hairol Azhar.

Klik untuk gambar besar









www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Instagram Ejai Aziz & Azarra Band


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: