12 October 2019

ZARA ZYA & HAFREEZ ADAM BERTUNANG, RANCANG NIKAH OKTOBER 2020


"Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berlangsung jam 3 petang tadi dan selesai sekitar jam 6 petang. Mengikut perbincangan keluarga, kami bakal disatukan sebagai suami isteri pada Oktober, tahun depan. Oktober dipilih sempena bulan kelahiran Zara, tetapi ia mungkin dipercepatkan jika semua urusan berjalan lancar. Kalau boleh, kami tidak mahu melengahkan perkara baik.





"Jika diikutkan, kami sebenarnya tidak mahu bertunang, namun ia dibuat bagi menghormati permintaan keluarga, terutama saudara jauh yang mahu mengenali saya dan bakal isteri dengan lebih dekat. Saya minta maaf sebab tidak maklumkan awal atas atas permintaan keluarga yang mahukan majlis tertutup. Sebenarnya tak ada niat nak sorokkan. Alhamdulillah, majlis tadi berjalan lancar.

"Sejujurnya, sejak sebulan lalu lagi memang berdebar sebab nak melangkah ke fasa baru sebagai tunangan orang. Apatah lagi majlis hari ini mempertemukan keluarga besar kedua belah pihak. Sebelum ini membabitkan kedua ibu bapa dan adik beradik saja," kata pelakon Hafreez Adam yang telah selamat melangsungkan pertunangan dengan pelakon Zara Zya di Kuang, Sungai Buloh, dalam majlis tertutup petang hari ini yang hanya dihadiri keluarga kedua belah pihak dan rakan terdekat.

Hafreez atau nama penuhnya Hafreez Adam Aizat Zahalan, 29, berkata mereka tidak berniat menyembunyikan majlis pertunangan itu, sebaliknya mahu memberi ruang kepada keluarga kedua-dua belah pihak untuk mengenali lebih dekat. Hafreez dan Zara yang sama-sama berlakon dalam drama bersiri 'Monalisa' itu berkata, tempoh pertunangan antara enam bulan hingga setahun.

"Atas permintaan keluarga kalau boleh bertunang dalam tempoh setahun. Tapi, kalau ada rezeki lebih cepat lagi bagus iaitu mungkin enam bulan. Jadi, mulai sekarang kami sudah boleh fikir dan buat persiapan sedikit demi sedikit. Soal kahwin ini bukan main-main. Banyak perkara kena ambil kira. Malah, untuk majlis nikah dan persandingan nanti kami merancang buat di sini saja. Jika boleh sekalikan majlis persandingan untuk kedua belah pihak," katanya.

Hafreez turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan peminat yang tidak berhenti mendoakan kebaikan buat mereka: "Perkara baik tak salah nak kongsi. Apa yang saya harapkan semoga peminat dapat doakan yang baik-baik untuk kami dan segala dirancang berjalan lancar".

Klik untuk gambar besar


Pasangan yang mula berkenalan ketika membintangi drama 'MonaLisa' pada 2017 itu pada mulanya, merancang untuk mendirikan rumah tangga, tahun lalu: "Namun, masing-masing sibuk dengan komitmen kerja menyebabkan hasrat itu tertangguh.

"Sebelum ini, keluarga saya datang merisik Zara pada 8 September lalu, cuma ia tidak dihebahkan kepada umum. Kami sebenarnya merancang untuk berkongsi berita gembira ini kepada rakan media dalam tempoh terdekat, namun terkejut apabila ia diketahui lebih awal.

"Terima kasih atas doa semua. Mengulas cabaran bertunang, saya berharap semua urusan kami dipermudahkan. Memang kami sudah saling mengenali perangai satu sama lain, namun dugaan ketika bertunang itu tidak sama.

"Pengalaman lalu juga banyak mengajar kami menjadi pasangan yang lebih baik," tuturnya yang turut memberitahu dia selesa dengan kematangan Zara, malah menyifatkan pelakon yang dikenali menerusi drama 'Love You Mr Arrogant' itu sebagai wanita yang membahagiakannya.

Pada majlis itu, Hafreez menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang daripada pihak Zara. Kedua pasangan anggun dalam persalinan rekaan Syafieq Ayman. Pasangan itu mulai bercinta sejak dua tahun lalu.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: