10 December 2019

HANS: "TIADA SEBARANG KONFLIK" - AHMAD IDHAM: "TERIMA TEKANAN PIHAK TERTENTU"


Berhubung Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang memendekkan kontrak perkhidmatan sehingga 10 Mac depan, pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac menafikan ada konflik antara dirinya dan Ahmad Idham. Mengesahkan permohonan menamatkan kontrak perkhidmatan lebih awal dikemukakan Ahmad Idham kepada Lembaga Pengarah FINAS, dua minggu lalu, Hans memberitahu, hubungannya dengan Ahmad Idham baik-baik sahaja.





"Tiada sebarang konflik. Cuma dalam aspek inisiatif, kami ada haluan untuk industri dan beliau (Ahmad Idham) sudah buat yang terbaik. Malah, Idham masih lagi CEO FINAS.... ada tiga bulan lagi. Saya tiada masalah dengan beliau. Malam tadi, pagi tadi, kami berbalas-balas mesej. Misalnya, pagi tadi, saya menggantikan Idham untuk memberi kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Temujanji itu diatur Idham, namun, beliau tidak dapat datang, jadi saya yang menggantikannya seperti diminta," katanya.

Hans mengulas laporan Ahli Lembaga Pengarah FINAS meluluskan permohonan Ahmad Idham untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan sebagai CEO kepada 10 Mac depan atas alasan peribadi. Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, berkuat kuasa 11 Mac lalu. Ketika itu, pelantikan Ahmad Idham yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri kreatif, dilaporkan adalah bagi tempoh dua tahun.

Hans menolak tanggapan mengatakan dirinya mahu mengawal agensi terbabit selepas dakwaan kononnya Ahmad Idham Ahmad digantung. Hans berkata, beliau tahu wujud pelbagai tohmahan ke atas dirinya dan ia disebabkan pihak yang menuduh tidak mengetahui maklumat sebenar. Katanya, setakat ini beliau tidak memiliki sebarang masalah bersama Ahmad Idham termasuk dakwaan yang mengaitkan dirinya mahukan kuasa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas.

Dalam perkembangan berkaitan, Hans berkata, tempoh perkhidmatan Ahmad Idham dipendekkan sehingga 10 Mac tahun depan adalah atas kemahuan Ahmad Idham sendiri: "Dua minggu lalu, Ahmad Idham memohon perkhidmatannya dipendekkan biarpun jawatan itu sah sehingga 10 Mei 2021. Kami tidak memaksa atau menekan tetapi dia mahu berkhidmat selama setahun".

Klik untuk gambar besar


Hans berkata, andaian konon wujud konflik antara dirinya dan Ahmad Idham mungkin timbul daripada isu yang diperkatakan warganet selepas membaca kenyataan dibuat pelakon dan pengarah filem itu, sejak akhir-akhir ini: "Mungkin banyak isu yang keluar daripada kenyataan Idham... Bagi kami, inisiatif untuk memendekkan kontrak adalah daripada beliau, bukannya kami".

Mengulas mengenai alasan peribadi yang dikemukakan Ahmad Idham, Hans berkata, lebih baik perkara itu diajukan sendiri kepada Ahmad Idham: "Alasan peribadi yang dinyatakan Idham adalah sesuatu yang perlu datang daripada Idham. Bukan bagi saya atau ahli Lembaga Pengarah untuk berkongsi... Apa-apa lebih baik datang dari Idham".

Sementara itu, Ahmad Idham mendedahkan keputusan dia menghantar surat permohonan penamatan kontrak lebih awal kepada Finas dilakukan selepas menerima tekanan daripada pihak tertentu. Bagaimanapun, Ahmad Idham ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan: "Betul, saya ada hantar surat mahu menamatkan kontrak lebih awal, tetapi keputusan itu diambil selepas menerima tekanan daripada pihak tertentu".

Pendedahan Ahmad Idham susulan kenyataan media daripada Finas mengenai penamatan kontrak perkhidmatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan itu pada 10 Mac 2020, hari ini. Ahmad Idham yang juga pengarah dan pelakon mula memegang jawatan itu pada 10 Mac lalu dan sepatutnya tamat kontrak pada 10 Mac 2021.



Dalam pada itu, satu sidang media bakal diadakan beberapa wakil persatuan antaranya Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (Profima) jam 3 petang hari ini. Menurut sumber, sidang media itu bertujuan untuk mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo memperincikan semula keputusan Ahmad Idham itu yang disifatkan tidak adil kerana dikatakan akibat menerima tekanan pihak tertentu.

"Buat pertama kali dalam sejarah industri hiburan tempatan, hampir semua persatuan hiburan mahu 'mendesak' menteri mendengar suara mereka. Mereka mahu menteri mendengar suara industri, bukan daripada pihak ketiga yang pastinya mempunyai agenda tersendiri," kata sumber terbabit.

Sumber turut memberitahu, wujud pihak tertentu yang memanipulasi secara halus keputusan menteri selain melakukan provokasi untuk mengeluarkan Ahmad Idham dari kedudukan itu: "Kenapa menteri tidak selidik betul-betul sebelum bersetuju dengan keputusan menurunkan Ahmad Idham? Selama dia berada di kerusi itu, banyak perubahan positif yang berlaku dalam tempoh tiga bulan".

Difahamkan, dalam tempoh itu kebanyakan penggiat seni mendakwa sangat berpuas hati dengan gerak kerja Ahmad Idham yang mengambil kira kebajikan artis dan industri hiburan tempatan. Antaranya mengenai kebajikan artis dan penambahbaikan industri hiburan melalui pelbagai latihan untuk penggiat industri.

Sumber juga memberitahu, dakwaan mengatakan Ahmad Idham tidak melakukan tugasnya dengan baik yang disebarkan pihak tertentu bagi tujuan melobi adalah alasan yang tidak kukuh. Pergolakan dalam Finas mula dihidu sejak minggu lalu apabila ada desas-desus mendakwa Ahmad Idham diminta bercuti selama tiga bulan bermula minggu ini. Pada masa ini, Ahmad Idham berada di Johor dan Singapura untuk menyelesaikan beberapa urusan peribadi.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: