21 January 2020

ARTIS BARU - 'AKU SETIA', PERTARUHAN TERKINI RAZAK A'AI


Bukan mudah untuk terjun ke dalam industri hiburan. Segala persiapan harus rapi, vokal mesti mantap dan unik demi mencapai kejayaan berterusan.

Begitulah halnya dengan pendatang baru iaitu Razak A'ai, yang bersuara mantap hingga mendapat jolokan 'Louis Armstrong' dan 'Cakra Khan' Malaysia.

Ini kerana, sejumlah besar pengikutnya yang menonton persembahan jejaka kelahiran Kuching, Sarawak ini mengakui kehebatan beliau. Razak A'ai bukan sahaja membuat persembahan di jalanan, malah namanya popular melalui saluran media sosial seperti YouTube, Instagram, Twitter termasuk Facebook.



Terkini, artis naungan Todak Music ini akhirnya dinobatkan kehebatannya menerusi single pertama bersama syarikat rakaman berkenaan berjudul 'Aku Setia'.




"Idea menghasilkan lagu ini pada mulanya tercipta sebagai luahan rasa terhadap ibu saya. Sebelum bersama Todak Music, saya pernah menaungi sebuah syarikat rakaman sebelum ini dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengejar cita-cita sebagai menyanyi di usia yang sangat muda, iaitu 18 tahun.

"Pernah menghasilkan sebuah single, namun ianya kurang menjadi. Malah kehidupan sebagai anak seni sangat mencabar. Keadaan itu mendesak saya pulang ke kampung halaman dan ia disambut dengan penuh rasa gembira oleh ibu saya.



"Ibu sarankan saya supaya mencari pekerjaan lain di Kuching Sarawak dan tinggal bersamanya. Tidak beberapa lama, saya mendapat tawaran daripada Todak Music. Minat terhadap muzik menggesa saya untuk kembali ke Kuala Lumpur.

"Hendak dijadikan cerita keputusan saya untuk menyanyi mendapat tentangan daripada ibu pada awalnya. Tetapi saya berjanji saya akan membawa pulang kejayaan kali ini dan berharap ibu saya setia menunggu momen itu," katanya pada media.

Untuk info, muzik video 'Aku Setia' baharu saja selesai penggambaran, terinspirasi daripada tragedi menyayat hati yang pernah menggemparkan dunia. Belum mahu berkongsi lanjut mengenainya, segalanya bakal didedahkan pada majlis pelancaran single 'Aku Setia' yang dijadualkan berlangsung hujung Januari ini.



Difahamkan, 'Aku Setia' adalah single yang mempertaruhkan hasil ciptaan Razak A'ai sepenuhnya. Menyuntik kelainan, beberapa bait lagu ini turut meminjam suara adik Alyssa Dezek, bintang kecil berbakat besar yang cukup sinonim dengan persembahan ukulele.

Jadi pada anda semua, jangan lupa temujanji anda bersama Razak A'ai dipenghujung Januari nanti yang pastinya menjanjikan pembaharuan hebat.

Sumber & foto: Kak yanie (NST)

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: