03 January 2020

"DEMI KESELAMATAN... SITUASI BERGAMBAR TIDAK SESUAI..." - SHAM VISA


Baru-baru ini, ada seorang individu yang mengaku peminat memuatnaik kenyataan di laman Instagram milik bekas penyanyi utama kumpulan Visa, Rohisham Hashim atau Sham dan mendakwa dia tidak dilayani sewaktu meminta untuk bergambar. Dakwa peminat terbabit, Sham terus dibawa pergi oleh pihak pengurusannya dan penganjur majlis sebaik saja selesai mengadakan persembahan.





Enggan isu tersebut menjadi besar dan dicop sombong, bekas peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6) itu memohon maaf sekiranya ada peminat yang terasa diri mereka tidak dilayan atau menganggap dirinya sombong, gara-gara tidak dapat bergambar bersama sewaktu menjayakan persembahan di Lumut, Perak sempena sambutan tahun baru, hari itu.

Katanya, dia memohon maaf dan turut berasa sedih apabila ada peminat yang berpandangan sedemikian terhadap dirinya sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya: "Saya cuba memenuhi permintaan peminat dan setahu saya ada beberapa orang berpeluang bergambar.

"Lagipun sebaik turun dari pentas orang mula berkerumun dan keadaan tidak terkawal. Bagi mengelakkan masalah timbul dan demi keselamatan semua orang pihak pengurusan serta penganjur berasakan adalah lebih baik saya beredar lebih awal," jelasnya.

Klik untuk gambar besar


Menurutnya, apabila peminat itu menyatakan dalam komen Instagram milik penyanyi itu yang dia membawa anak kecilnya dan mahu bergambar bersama, ia lebih membimbangkan. Katanya, dalam keadaan sudah lewat malam dan orang mula berhimpit serta berkerumun, sudah tentu situasi terbabit akan membahayakan anak kecil yang dibawa:

"Peminat yang bersama terutama ahli Shamvangers, tahu saya bagaimana. Saya ini sombong atau tidak tanyalah kepada mereka sendiri. Pada saya mungkin situasi untuk bergambar itu tidak sesuai. Kepada peminat terbabit, Insya-Allah peluang hendak bergambar dengan saya akan sentiasa ada. Cuma di konsert sambutan tahun baru kelmarin keadaan kurang sesuai apabila orang mula berkerumun," ujarnya.

Sham juga menjelaskan, kemungkinan peminat itu boleh menyertai aktiviti yang bakal dilaksanakan bersama kelab peminatnya yang sedang dirangka dan akan dijalankan dalam waktu terdekat: "Saya rasa dalam pertemuan seperti itu lebih sesuai dan dia boleh lihat sendiri saya ini sombong atau tidak?

"Waktu acara dijalankan nanti, dia bukan saja boleh bergambar tapi boleh juga menyertai aktiviti bersama teman Shamvangers yang lain. Waktu itu bawalah ahli keluarga sekali menyertai dan saya sendiri mahu mengenali peminat dengan lebih dekat," katanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Sham Visa


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: