31 January 2020

NORA AKUI PEMERGIAN SUAMI BERI KESAN MENDALAM BERBANDING ANAK


Penyanyi Nora Ariffin sebelum ini berdepan dengan ujian besar apabila kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh yang singkat. Meskipun pemergian suami, Johan Nawawi lebih meninggalkan kesan mendalam, Nora, 46, berkata kehilangan anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan, 20, turut menyentuh hati nalurinya sebagai seorang ibu.





"Perginya dua insan tersayang merupakan satu ujian dan rasa kehilangan yang berbeza... mungkin suami lebih mendalam kerana dia adalah teman kita, soulmate dan tempat kita menangis dan susah senang bersama. Kalau anak mungkin agak terhad tapi anak ini kita yang lahirkan, mengandungkan dan jaga mereka sehingga besar, itu bezanya tapi perasaan sayang tak ada beza.

"Saya terima dan reda dengan pemergian mereka kerana saya sentiasa ingat satu benda iaitu Allah berhak bagi pinjam yang terbaik untuk kita dan apabila tiba masanya, Dia akan ambil semula. Itu sudah ketentuan Allah, kita terima dan bersangka baik dengan semua ini," kata penyanyi lagu 'Ada Dalam Tiada' ini.

Berkaitan punca kematian anak keduanya, Nora berkata dia meninggal kerana faktor genetik dan juga sudah ketentuan ajal. Pada hari pengebumian Alif, Nora memaklumkan punca kematian anaknya itu masih tidak diketahui walaupun bedah siasat sudah dijalankan pada sebelah paginya: "Dia meninggal dunia kerana faktor genetik. Lebih kurang begitulah. Satu lagi adalah kerana ketentuan ajal," tuturnya.

Ujar Nora, ada juga orang yang sakit terlantar namun selagi belum sampai ajal, dia masih bernafas: "Ada juga orang yang sihat seperti pemuzk Lok U tiba-tiba meninggal dunia, baru-baru ini. Saya terkejut kerana ketika Mentor Milenia dia selalu duduk berbincang dengan Alif.

Klik untuk gambar besar


"Walaupun menjaga kesihatan, apabila sampai ajal akan meninggal dunia juga," ujarnya ketika ditemui di sidang media perlantikannya sebagai duta dan wajah produk penjagaan kecantikan Prettian Malaysia dari Korea Selatan itu selama setahun.

Menurut Nora, kata-kata semangat daripada arwah Alif juga menjadi pendorong untuknya segera bangkit daripada kesedihan dan hadir ke majlis tersebut: "Saya sebenarnya tak nak fikir masalah kerana masalah memang selalu ada. Lagipun rasanya semua orang ada masalah.

"Sekarang sudah masuk 45 hari Alif pergi dan baru-baru ini kami buat tahlil sempena hari ke-40. Saya juga tiada edah yang perlu dituruti. Perbincangan bersama produk ini juga dibuat ketika Alif masih ada," tuturnya.

Nora berkata, sebelum ini kakitangannya seperti takut untuk menyuruhnya kembali aktif kerana menyangka dia belum bersedia: "Saya sendiri bercakap kepada pembantu saya untuk teruskan aktiviti yang sudah dirancang seperti program umrah dan sidang media hari ini.



"Bagi saya tiada gunanya nak meleret layan kesedihan. Namun siapa kata tak sedih kerana perasaan itu tetap ada. Tetapi ketika Alif ada, dia memang nak saya gembira dan sibuk bekerja. Saya ambil semangat dia untuk terus aktif dan teruskan hidup," jelasnya.

Nora turut mengakui semangatnya kuat apabila melihat anak-anaknya yang lain sangat memerlukannya. "Mereka sudah kehilangan dua tonggak iaitu ayah dan abang. Manakala anak sulung saya, Iman sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

"Saya 'move on'. Bagaimana sedih dan rindu pun, saya kena 'move on'. Saya pun tak sangka dapat benda-benda begini. Selagi hidup kita memang tak dapat lari dari ujian. Saya pegang tiga benda iaitu sabar, reda dan bersyukur. Kadang-kadang kita bersyukur apabila membabitkan perkara gembira. Tapi kita lupa bersyukur terhadap ujian yang Allah timpakan," katanya.

Dalam pada itu, Nora mengakui bukan mudah berdepan ujian tersebut, namun dia sentiasa berpegang kepada tiga prinsip ketika diuji: "Saya pun bukanlah orang yang kuat! Saya manusia biasa dan tak dapat nafikan ada masa turut bersedih dan tertekan, masa itu saya akan menangis!



"Bagaimanapun, saya berpegang kepada tiga perkara iaitu sentiasa bersabar... walau apa berlaku kena banyak sabar, keduanya kena belajar reda. Sedih itu boleh tapi janganlah terlalu over dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada.

"Kadang-kadang kita terlepas pandang tentang syukur ini dan ingat ia hanya untuk benda baik... sebenarnya ketika ditimpa musibah kita kena bersyukur juga sebab itu petanda Allah nak kita jadi lebih baik," ujarnya.

Sementara itu, bercakap soal jodoh, Nora menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan takdir: "Sudah tiga tahun berlalu dan saya hanya berserah. Saya tak nak cakap terlampau lebih sangat bimbang lain jadinya. Kalau benda baik yang selalu kita doa, Allah akan bagi benda baiklah.

Apabila sampai masanya, sampailah. Kalau nak cari yang macam arwah memang susah kerana sifat manusia itu tak sama. Tapi bukanlah saya nak cari. Kalau ia datang dan anak-anak okay, saya okay. Tapi buat masa ini tak ada lagi, sekadar kawan-kawan," katanya.

Pada 14 Disember tahun lalu, anak kedua Nora meninggal dunia secara mengejut apabila tiba-tiba rebah ketika berada di kediaman mereka. Nora sebelum ini turut kehilangan suaminya yang juga seorang komposer ternama pada 24 Mac 2017.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, mStar & Instagram Nora Ariffin


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: