26 February 2020

ISU HAK CIPTA - NAIM DAKWA BELUM TERIMA BUKTI DARIPADA DAYANA


Berhubung isu hak penciptaan lagu 'Sumpah' yang mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, awal bulan ini, penyanyi Naim Daniel mendakwa belum menerima bukti daripada bekas kekasihnya, Dayana Armeda. Naim mendakwa, syarikat pengurusannya, World Peace (WP) Entertainment Sdn Bhd masih belum menerima sebarang e-mel daripada Dayana berhubung isu dibangkitkan.





"Setakat ini, tiada apa-apa bukti yang dikirim melalui e-mel kepada pihak pengurusan saya. Mengenai langkah seterusnya, saya serahkan kepada syarikat rakaman untuk membuat keputusan," jelasnya.

Rabu lalu, pada sidang media, Dayana yang mendakwa dirinya bekas kekasih Naim, memberi tempoh seminggu kepada penyanyi itu untuk membuat pengakuan terbuka berhubung isu penciptaan lagu Sumpah.

Dayana mahu pemenang trofi utama Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 itu bersikap jujur mengenai apa yang didakwa hak penciptaan bersama lagu berkenaan. Dalam kenyataan balas, WP Entertainment mahu Dayana mengemukakan bukti kukuh lagu Sumpah adalah milik dirinya dan artis naungan mereka.

Klik untuk gambar besar


Syarikat itu dalam kenyataan menyebut, sejak April tahun lalu, hak cipta lagu Sumpah menjadi milik Naim sebagai penulis lirik, manakala gubahan lagu dihasilkan bersama Omar K. Bagaimanapun, WP Entertainment sedia menimbang tuntutan Dayana Amerda atau nama sebenarnya, Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah, 21, jika isu dibangkitkan benar dan muktamad.

Sementara itu, wakil WP Entertainment mengesahkan belum menerima maklum balas daripada Dayana. Wakil syarikat itu memberitahu, maklumat lanjut mengenai kemelut hak penciptaan lagu Sumpah akan dijelaskan pada sidang media sempena pelancaran single baharu Naim berjudul Sembah, tidak lama lagi.

"Kami hanya menunggu bukti yang didakwa dimiliki pihak sebelah sana (Dayana). Jika mereka ada bukti, barulah kami memikirkan tindakan yang boleh diambil. Setakat ini, tiada tindakan yang dapat diambil," katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan kenyataan Dayana berikutan tempoh seminggu yang diberi kepada Naim untuk membuat pengakuan terbuka berhubung hak pemilikan lagu 'Sumpah', berakhir hari ini, masih tidak dapat.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Naim Daniel


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: