04 February 2020

MUFTI AKAN KELUARKAN KENYATAAN - UMRAH SAJAT SAH JIKA IKUT SYARAT


Berhubung isu membabitkan usahawan terkenal, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman dan beberapa individu yang berpakaian seperti wanita semasa mengerjakan ibadah umrah di Makkah, Mufti Wilayah Persekutuan telah diminta mengeluarkan kenyataan.





Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, isu berkenaan melibatkan fatwa dan kenyataan berkaitan hukum seharusnya dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Bila dia (Sajat) sudah berada di Makkah, itu tindakan dia yang melibatkan hukum-hakam. Dan hal melibatkan fatwa perlu dikeluarkan oleh mufti. Kita minta mufti untuk mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ketika dihubungi sedia maklum berhubung isu yang hangat diperkatakan membabitkan usahawan kosmetik itu. Mengenai saranan Fuziah itu, seorang pegawai memberitahu bahawa pejabat mufti akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu yang berbangkit dalam masa terdekat.

"Pejabat mufti telah pun mengeluarkan fatwa mengenai lelaki berpakaian wanita ini, tetapi kita sedia maklum mengenai isu yang melibatkan Sajat ketika ini. Sehubungan itu, kita akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan tidak lama lagi," ujar pegawai berkenaan.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, Lembaga Tabung Haji ada mengeluarkan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433 Hijrah mengenai khunsa dan mukhannas. Mukhannas merujuk kepada lelaki menyerupai wanita dari segi tingkah lakunya dan penampilannya.

"Bagi mukhannas semula jadi atau yang disengajakan, telah melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak, dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukan disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya," menurut resolusi itu.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata berkata ibadat umrah Sajat yang berpakaian seperti wanita ketika berada di Tanah Suci ini sah jika umrah yang dilakukan itu mencukupi syarat.

"Isu dia (Muhammad Sajad) berpakaian wanita itu adalah kesalahan lain. Jika melihat dari segi ibadat, umrah dia adalah sah selagi dia menutup aurat dan cukup syarat. Sebagai contoh lelaki solat dengan memakai pakaian curi, ibadat solatnya masih sah namun tindakannya yang mencuri itu tetap haram. Ianya dua perkara berbeza," katanya pada sidang media di pejabatnya, di Kota Bharu, hari ini.



Bagaimanapun beliau berkata, sepanjang ibadat umrah yang dilakukan itu, Muhammad Sajad melanggar tiga perkara iaitu tidak patuh dan taat kepada Allah SWT selain tidak taat kepada peraturan yang ditetapkan.

"Jika kita melanggar tiga perkara itu ketika menunaikan ibadat umrah, Allah tidak akan reda. Sekarang ini ramai yang mengatakan hak asasi manusia dengan mempertahankan tindakan dia (Muhammad Sajad). Dalam Islam, hak asasi itu terpakai kepada mereka yang berada dalam fitrah sahaja.

"Jika seseorang itu hidup diluar fitrah iaitu menjadi wanita sedangkan dilahirkan sebagai lelaki, bermakna dia sudah tidak hidup secara fitrah. Jadi apa yang dilakukan Muhammad Sajad itu sudah melanggar ketiga-tiga elemen berkenaan sepanjang di Makkah selain tidak hidup secara fitrah. Maka Allah tidak akan reda," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, apabila Muhammad Sajad menunaikan umrah, masyarakat mengharapkan dia mendapat keinsafan dan kembali ke pangkal jalan. Namun katanya, tindakan yang dilakukan itu turut menjejaskan imej negara yang selama ini sentiasa dipuji sebagai jemaah yang berdisiplin.

"Ini kejadian pertama yang memecah disiplin negara. Justeru, kerajaan perlu tangani masalah ini sebagaimana doktor yang merawat pesakit. Nasihat saya misi hidup kita adalah merasa perhambaan diri kepada Allah, jadi semua pihak harus menyedari misi hidup. Jangan lari dari misi hidup," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber: mStar & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: