16 March 2020

BAKAL JALANI PROSES IVF SELEPAS RAYA - ELIZAD BERDOA DIPERMUDAHKAN


"Saya sudah menjalani beberapa kali pemeriksaan dengan doktor sebagai persediaan untuk buat IVF. Alhamdulillah, maklum balas diberikan positif. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar saya akan menjalani proses ini selepas raya nanti. Apa yang penting sekarang, saya kena jaga kesihatan, pemakanan dan tubuh badan.





"Sebagai manusia, kita mampu merancang dan Allah yang tentukan segalanya. Saya hanya mampu berdoa semoga usaha ini diperkenan dan impian saya untuk mendapatkan cahaya mata dimakbulkan Allah," jelas pelakon Siti Elizad yang berkongsi bakal menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) selepas sambutan Aidilfitri nanti dan berdoa agar proses itu dipermudahkan serta berjalan lancar.

Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 36, yang juga penyampai radio Sinar FM berkata, buat masa sekarang dia masih boleh menjalani aktiviti dan meneruskan aktiviti seni seperti biasa: "Diakui ramai risau tengok aktiviti harian saya terutama ketika menunggang motosikal. Ingin dijelaskan, saya belum buat IVF lagi. Kalau sudah buat nanti, saya akan berehat saja.

Klik untuk gambar besar


"Begitu juga dengan aktiviti seni lain, saya masih boleh bekerja macam biasa. Sebab itu, kalau tengok di IG saya aktif saja. Macam sekarang pun saya terbabit dalam penggambaran drama 34 episod, 'Jalan Sesat Ke Syurga'. Terima kasih atas keprihatinan semua. Doakan yang baik-baik buat saya," katanya.

Menerusi drama 'Jalan Sesat Ke Syurga' arahan Osman Ali itu, Elizad bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz, Datuk Jalaludin Hassan, Aleza Shadan dan ramai lagi. Drama itu bakal ditayangkan di Astro Ria sempena Ramadan ini.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Elizad


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: