24 March 2020

BERDEPAN COVID-19 - AZHAN RANI TETAP DERMA DARAH


"Saya sudah menghubungi pihak PDN untuk bertanya selamat atau tidak jika mahu ke sana bagi tujuan menderma darah. Selepas mendapatkan maklumat terperinci yang tepat, barulah saya membuat keputusan. Saya ikut semua perkara disarankan pihak berwajib.





"Jangan datang secara berkumpulan, tidak singgah di tempat-tempat tak sepatutnya, ikut amalan penjarakan sosial dan sentiasa memakai pelindung mulut dan hidung," kata pelakon Azhan Rani, 44, yang tetap menjalankan tanggungjawab sosial masyarakat dengan melakukan aktiviti menderma darah di Pusat Darah Negara (PDN), hari ini, walaupun negara berdepan penularan wabak Covid-19.

Azhan ketika dihubungi berkata, walaupun kerajaan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, tetapi keluar menderma darah boleh dilakukan. Menurut Azhan, walaupun bekalan darah bukan keutamaan pesakit Covid-19, tetapi harus diingat masih ada pesakit lain yang sangat memerlukan darah dan kita tak patut terlepas pandang.

"Persepsi takut keluar rumah itu perlu diketepikan di atas tujuan kebaikan. Menderma darah juga penting kerana jika tidak dibuat akan menimbulkan masalah bekalan darah tidak mencukupi dan menjadi sebab peluang untuk orang lain diselamatkan tipis. Dalam masa sekarang, saya tahu dan sedar Covid-19 bahaya, tetapi saya letak perasaan takut itu ke tepi dan cuba buat apa yang mampu untuk kebaikan orang lain juga.

Klik untuk gambar besar


"Saya tidak berhasrat menjadi hero macam dalam drama dilakonkan. Namun, sekadar berasakan tindakan ini (derma darah) lebih baik dilakukan daripada saya hanya cakap kasihan, kasihan, kasihan bila tengok pegawai perubatan dan pesakit di media sosial bertarung menghadap musibah di hospital," katanya.

Mengulas persepsi segelintir individu yang mungkin menganggap tindakan dilakukan kurang bijak, pelakon drama Nur dengan watak Ustaz Syed Hamadi ini berkata, menjadi pandai atau sebaliknya itu bukan anugerah, tapi pilihan masing- masing.

Katanya, dia percaya orang yang mementingkan diri sendiri bukanlah individu penting untuk orang lain. Hidup ini sementara, mungkin sekarang ia dugaan buat orang lain, namun apakah ujian buat kita belum tahu lagi.

Azhan mula terbabit dengan aktiviti menderma darah sejak 2010 dan hingga kini sudah 23 kali menjadi penderma. Katanya, untuk mudahkan perjalanan ke PDN, bagi penderma darah tetap, jangan lupa membawa buku merah dan tunjuk pada pihak berkuasa yang melakukan kawalan pemeriksaan di jalan raya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Norzizi Zulkifli


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: