24 March 2020

'BERKURUNG' DI HOTEL SEJAK PKP - JULFEKAR BERTERIMA KASIH YANG HANTAR MAKAN


Menjadi hotel sebagai tempat dia 'berkurung' sejak 18 Mac lalu di Kota Kinabalu, Sabah, komposer Julfekar Ahmad Shah berterima kasih kepada peminat dan rakan-rakan yang sudi membantunya dengan menghantar makanan. Komposer lagu 'Elergi Sepi' nyanyian Azharina itu juga berdepan saat getir kerana sukar untuk mendapatkan bekalan makanan memandangkan banyak kedai ditutup.





"Saya tersangkut di hotel ini sejak 18 Mac lalu kerana tak dibenarkan untuk keluar dari Sabah. Jadi, saya di sini sendirian, di bandar yang lengang seperti Zombieland. Susah pula nak dapatkan makanan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Julfekar, dia juga bimbangkan keadaan isterinya yang juga penyanyi, Min Yasmin yang kini berada di Kuala Lumpur: "Kami mengambil penerbangan dari Manila ke Kota Kinabalu pada 5 Mac lalu, tapi disebabkan ada urusan di Kuala Lumpur, Min pulang dahulu dan saya masih di sini memantau proses pembaikan kafe kami.

"Jadi, dia sepatutnya datang semula ke Kota Kinabalu pada 18 Mac lalu dan kebetulan, hari itu adalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerajaan negeri Sabah tak membenarkan mereka yang bukan berasal dari Sabah untuk masuk ke negeri ini buat sementara waktu. Jadi, dia terpaksa akur dan pada masa sama, kami bimbangkan diri masing-masing kerana jauh. Saya bertawakal kepada Allah," jelasnya.

Katanya lagi, setiap yang berlaku ada hikmahnya: "Apa pun, semua yang berlaku ada hikmah dan kebaikannya. Insya-Allah. Harap-harap, arahan PKP ini tidak berpanjangan," katanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: