24 March 2020

"INGATAN MAKIN PULIH.. SYUKUR, DIA SUDAH BOLEH MENGESOT..." - ANAK ZULKIFLI ZAIN


Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, dibenarkan keluar hospital, sejak minggu lalu, selepas keadaan kesihatan semakin stabil. Sebelum ini, pelakon filem 'Permintaan Terakhir' dan 'Tiada Esok Bagimu' itu berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak. Awalnya, beliau dikejarkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang pada 7 Mac lalu.





Pada 15 Mac lalu, keadaan kesihatan bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu dilaporkan merosot hingga kurang memberikan respon dan ada ketika, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Sebelum ini, doktor memaklumkan pendarahan dalam otaknya tidak merebak dan masih ada harapan sembuh.

Anaknya, Norzaza Zulkifli berkata, bapanya dibenarkan keluar hospital pada 19 Mac lalu: "Alhamdulillah, keadaan Papa semakin baik apabila pulang ke rumah. Hari pertama, Papa kelihatan bertenaga, tidak sama ketika berada di hospital.

"Ketika kritikal, suara pun kita kurang dengar. Sekarang suara sudah jelas, mampu menjerit nama anak-anak seperti biasa. Bagaimanapun, Papa kurang berselera makan. Dia hanya menjamah sedikit makanan," jelasnya.

Klik untuk gambar besar


Zaza berkata, ingatan bapanya juga semakin okay: "Ingatan makin pulih, tidak seperti sebelum ini, bercakap sendiri dan tak kenal orang. Cuma, Papa tak ingat banyak kejadian yang berlaku di hospital. Mungkin waktu itu, ingatannya terganggu disebabkan ada pendarahan dalam otak.

"Secara keseluruhannya, Alhamdulillah. Papa sudah melakukan rutinnya ketika berada di rumah. Selalunya, Papa akan menggerakkan punggung dan kaki perlahan-lahan hingga di hujung katil, sebelum diangkat atas kerusi roda.

"Awalnya, Papa seperti lupa, tetapi saya mengingatkannya. Syukur, dia sudah boleh mengesot hingga hujung katil tanpa perlu dipegang belakang," katanya akan menjalani pemeriksaan pada April depan.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Norzizi Zulkifli


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: