20 March 2020

ISU NABILA HUDA 'BEKERJA' - ADTISHA PRODUCTIONS NAFI 'SHOOTING', HANYA SALAH FAHAM


"Pagi itu saya mengarahkan Pengurus Produksi (PM) untuk kumpulkan semua pelakon dan kru di hotel bagi menandatangani surat penangguhan penggambaran dan membayar semua tuntutan termasuk memberikan wang untuk petrol dan tol. Malah, 50 peratus bayaran sudah diselesaikan. Ini di bawah syarikat jadi perlu ada prosedur. Kalau boleh kami tidak mahu berhutang dengan mereka.





"Saya perlu bertanggungjawab. Buat masa ini kami tidak tahu bila penggambaran akan disambung. Ia bergantung pada keadaan semasa. Kami tidak mahu ada isu timbul sekiranya penggambaran dibuat selepas itu. Jadi, ingin dijelaskan tidak ada sebarang penggambaran dijalankan pada hari itu. Kami akur dengan arahan dikeluarkan. Apa yang berlaku hanyalah salah faham.

"Saya tidak mahu perbesarkan isu ini dengan membalas di Instagram Amy Search. Jadi, lebih baik saya diam," jelas Syarikat produksi Adtisha Productions yang menafikan mereka masih menjalani penggambaran telefilem, 'Aku Ingin Ke Syurga' di Pasir Puteh, Kelantan pada 18 Mac lalu iaitu hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan kerajaan.

Penerbitnya, Mohd Ady Hafizie Hanaffiah ketika dihubungi berkata, apa yang berlaku dan kecoh di laman sosial hanyalah salah faham. Ady yang juga penerbit bersama isteri iaitu pelakon dan penyanyi, Tisha Shamsir mengakui pihaknya masih menjalankan penggambaran pada 17 Mac lalu.

Klik untuk gambar besar


"Pada hari itu memang kami masih menjalani penggambaran. Itu pun selepas berbincang dengan pengarah dan pelakon. Mereka bersetuju untuk menghabiskan babak penting dahulu. Selepas itu, terus berhenti. Semua pelakon termasuk Abil (Nabila Huda) memberikan komitmen.

"Abil bertolak balik ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. Dia memaklumkan pada saya dan pengurus produksi. Pada mulanya dia menghubungi saya tapi tak dapat. Kemudian, saya menghubunginya semula dan ketika itu dia sudah dalam perjalanan pulang," katanya.

Terdahulu, Nabila membuat keputusan meninggalkan lokasi penggambaran telefilem berkenaan dan pulang ke Kuala Lumpur, semalam bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan berikutan wabak Covid-19. Dalam masa sama, bapa Nabila, penyanyi, Amy Search menerusi Instagram Story turut menempelak syarikat produksi terbabit dengan mendakwa mereka melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam hantaran yang sama, Amy turut meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap syarikat itu dan meminta Nabila segera pulang ke rumahnya. Selain Nabila, telefilem itu turut menampilkan pelakon Fauzi Nawawi dan Riz Amin.






www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: