07 April 2020

BERSYUKUR BAPA MENTUA BEBAS COVID-19 - NIZAM LAKSAMANA SOLAT HAJAT & TAUBAT


"Alhamdulillah, bapa mentua saya sudah dibenarkan keluar hospital dan bebas daripada Covid-19. Manakala, ibu mentua yang juga kontak rapat automatik menjalani ujian saringan Covid-19 yang dilakukan hospital, namun setakat ini belum ada keputusan yang diterima.





"Dia juga menjalani kuarantin di kampung," jelas penyanyi Nizam Laksamana atau nama sebenarnya Mohd Nizam Pechok, 54, yang bersyukur apabila bapa mentuanya, disahkan negatif Covid-19 semalam selepas dimaklumkan Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

Terdahulu, Nizam pada 31 Mac lalu memberitahu, dia dan isteri, Salwati Zulkifli, 45, serta dua anakn, Nur Ellis Adeeba, 25, dan Nur Ellisa Adeera, 16, perlu menjalani saringan kesihatan dan pengesanan Covid-19, hari ini apabila bapa mentuanya disahkan positif Covid-19 pada hari sebelumnya.

Keputusan itu dibuat berikutan mereka antara kontak rapat pesakit. Mengulas perkara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Gugurnya Bunga Cinta berkata, mereka masih menunggu keputusan ujian dari hospital: "Menurut doktor, kalau hari ini kami tak terima panggilan hospital, maknanya kami negatif Covid-19.

"Setakat ini, belum ada panggilan dari pihak hospital. Diakui kami sekeluarga berasa takut apabila dipanggil buat saringan. Paling dibimbangi sekiranya ujian itu positif. Setiap hari kami tertanya-tanya apalah agaknya nasib kami sekeluarga," katanya.

Klik untuk gambar besar


Nizam berkata, sekiranya ada antara mereka positif, tidak mustahil tempiasnya akan kena pada yang lain: "Bayangkan ini adalah rantaian dan tambah lagi kami serumah. Berdebar-debar juga untuk berdepan situasi ini. Namun kerana rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan diri sendiri, kami jujur pergi buat saringan. Kami tak boleh pentingkan diri hingga memudaratkan kesihatan orang lain," ujarnya.

Nizam secara jujur mengakui dibayangi perasaan cemas kerana pandemik wabak Covid-19 ini sudah meragut puluhan nyawa dalam negara: "Tipulah kalau saya kata tidak rasa apa kerana ini soal hidup dan mati juga.

"Bagi menenangkan diri, saya buat solat hajat di rumah bersama keluarga. Setiap hari kami buat solat hajat bersama agar Allah jauhkan perkara buruk. Tidak terkecuali, kami juga buat solat taubat. Inilah masa kita dapat cari diri kita. Mungkin kerana saya banyak dosa, maka Allah bagi ujian ini," tuturnya.

Nizam sebelum ini pulang ke kampung isterinya sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu. Bapa mentuanya ada kontak rapat dengan imam di surau kampung berkenaan dan imam itu pula adalah kontak rapat dengan salah seorang jemaah yang mengikuti perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Februari lalu.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Nizam Laksamana


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: