07 April 2020

MAKAN SEKALI SEHARI - PENYANYI ALINA HASSAN DIBANTU PKAVM


Bekas peserta Mentor Otai, Alina Hassan, 52, terpaksa makan sekali sehari demi meneruskan kelangsungan hidup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, akhirnya mendapat bantuan pihak yang prihatin.

Dia yang pada awalnya mengambil upah membeli barangan keperluan harian bagi penduduk di sekitar tempat tinggalnya yang terletak di Setapak, bagaimanapun mengalami kesukaran gara-gara tidak memiliki kenderaan tetapi terpaksa mengerah keringat menghantar barang yang dipesan dengan berjalan kaki lebih dua kilometer setiap hari.

"Setiap hari, saya ambil upah untuk membeli barang dapur. Mujurlah di bawah rumah saya ada pasar mini yang dibuka sebelum berjalan kaki lebih dua kilometer ke kawasan sekitar untuk menghantar pesanan.





"Alhamdulillah, tempat tinggal saya ada banyak kawasan perumahan dan apartment. Jadi, ramai yang membuat pesanan menerusi aplikasi WhatsApp meminta saya belikan barang untuk mereka," ujarnya dipetik sebagai berkata.

"Alhamdulillah, pendapatan yang saya dapat daripada mengambil upah ini mencukupi. Tidaklah mewah atau apa, tapi cukuplah untuk saya beli sebungkus nasi bungkus kerana sehari, saya cuma makan sekali saja.

"Selagi saya masih kuat untuk bekerja, saya akan terus bekerja," katanya mengenai pendapatan yang hanya mencukupi untuknya membeli nasi bungkus bagi mengisi perut.

Untuk info, semalam, Alina menerima sumbangan barangan keperluan daripada Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM).

Klik untuk gambar besar


"Alhamdulillah, pihak PKAVM datang berikan sedikit sumbangan termasuklah satu cerek elektrik untuk memudahkan saya memasak mi segera memandangkan bilik sewa saya tidak ada dapur sendiri dan kena berkongsi.

"Sejujurnya, kalau boleh tak mahu ambil sumbangan, bukan kerana saya sombong, tapi biarlah ia diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Saya hidup sendirian. Menyewa bilik di satu kawasan rumah kedai di sini. Jadi, ada mi segera, biskut dan kopi pun sudah mencukupi. Ramai lagi orang lain yang ada anak ramai dan sangat memerlukan," katanya.

"Kita tak boleh menghakimi seseorang kerana kita tak tahu apa yang dilalui. Saya pernah ada duit banyak, tapi saya gunakan untuk bayar hutang.

"Tapi, tak mengapa sebab sekurang-kurangnya, sekarang saya bebas daripada hutang," tambahnya.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: