05 April 2020

"SAYA BERCERAI TANPA ADA HARTA, SEHELAI SEPINGGANG..." - AMELINA


Sebelum ini, penyanyi Amelina mengaku sudah bercerai dengan suami, Reduan Mahamood, sejak 29 Jun 2016, selepas hampir lima tahun merahsiakan status diri. Membuat pengakuan di Instagram (IG), Amelina yang selesa membahasakan dirinya Kak Long, memberitahu, tindakan membuka kisah peribadi bukan bertujuan meraih simpati.





Sebaliknya, kata Amelina, perkara itu dikongsi untuk masyarakat melakukan muhasabah diri serta mengingati bahawa setiap orang, tidak kira artis atau siapa sahaja, menghadapi cabaran hidup.

"Apatah lagi, ketika ini, kita sedang melalui tempoh mencabar akibat penularan COVID-19... Semua golongan mengalami tekanan. Seperti saya, lagilah terasa dengan tiada pendapatan tetap apabila banyak persembahan dibatalkan. Tetapi saya percaya, rezeki tidak salah alamat," katanya.

Mengajak masyarakat bermuhasabah, Amelina mahu netizen tahu artis juga melalui kesusahan hidup dengan semua orang ada masalah sendiri: "Amelina adalah penyanyi di atas pentas. Tetapi sebagai Norazlina (nama sebenar), saya adalah ibu tunggal yang merasai cabaran hidup. Tetapi kalau kita bersabar, tabah dan sentiasa positif, insya-Allah semuanya akan dipermudahkan," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Entri mengesahkan status dirinya sebagai ibu tunggal dimuatnaik Amelina bersama video pendek dipercayai dirakam di Mahkamah Syariah, yang menampilkan peguam syariah yang mewakilinya, Rizz Iskandar.

Amelina bersyukur menggunakan khidmat peguambela yang memudahkan urusan perceraian. Penyanyi Asyik ini juga berterima kasih kepada Liza iaitu isteri penyanyi dan komposer, Ajai, yang banyak membantu sepanjang proses itu.

"Ramai tidak tahu bila saya bercerai. Memang saya meminta pada peguam untuk tidak menghebahkan berita ini. Alhamdulillah, peguam saya sangat membantu. Pejam celik, kes cerai saya sudah selesai. Saya tidak sangka secepat itu, mungkin disebabkan doa saya sebagai insan teraniaya.

"Iyalah, perceraian bukanlah suatu perkongsian yang menggembirakan. Berita ini boleh membuatkan kita sedih, apatah lagi apabila ibu tunggal dipandang rendah," tuturnya yang memiliki enam cahaya mata.



Amelina berkongsi, lima tahun yang diharungi sebagai ibu tunggal bukanlah mudah. Dalam mengatur perbelanjaan keluarga, Amelina mengamalkan budaya berjimat cermat: "Tipulah kalau saya tak bersedih dengan keadaan saya. Jujurnya selepas bercerai, saya rasa dugaan hidup saya amat berat apabila kembali kepada 'sifar'.

"Saya bercerai tanpa ada harta, sehelai sepinggang dengan anak-anak semua di bawah jagaan saya. Ketika itu, semuanya masih bersekolah. Apa yang paling saya risau adalah anak-anak. Bolehkah saya menyara anak-anak dalam usia saya yang lanjut ini. Dahulu, 20 tahun lalu, iyalah saya kaya-raya. Tetapi selepas 15 tahun menyepi daripada dunia seni, saya tiada satu sen pun.

"Tapi, Alhamdulillah, Allah Maha Mengetahui. Dengan doa yang tidak putus saya panjatkan kepada Allah, semuanya dipermudahkan dan rezeki kami sentiasa ada. Malah, kesulitan yang bekas suami saya tinggalkan seperti kes bankrap juga sudah selesai," jelasnya.

Untuk makluman, Amelina berkahwin dengan Reduan pada 26 April 1999 dan bercerai pada 29 Jun 2016. Perkahwinannya dengan Reduan dikurniakan enam anak iaitu Puteri Nur' Athirah, 19; Putera Al' Affiq, 18; Putera Al' Asyraff, 17; Puteri Nur' Asyurah, 15; Putera Al' Arffa, 13; dan Putera Al' Amzar, 11.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Amelina


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: