16 May 2020

ASHRAF RINDU RAKAN DI WAD 31: "NIKMAT DIKECAPI TIDAK AKAN PEROLEH DI MANA-MANA"


Selepas dibenarkan pulang apabila dua kali ujian yang dijalani menunjukkan dia bebas daripada Covid-19, pelakon Ashraf Muslim mengakui merindui rakan-rakan serta suasana di Wad 31, Hospital Sungai Buloh. Ashraf yang disahkan positif Covid-19 pada 12 April lalu dan dirawat di hospital berkenaan itu menganggap apa yang berlaku sebagai musibah.





Dia memberitahu dirinya insan terpilih dan melihat apa yang berlaku sebagai hikmah serta kenangan manis yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Selepas 25 hari dikuarantin, Ashraf kini kembali ke pangkuan anak dan kedua-dua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.

"Ketika mula-mula disahkan positif dan dibawa ke hospital, pelbagai perasaan yang timbul dalam hati terutama apabila memikirkan terpaksa berjauhan sekali lagi dengan keluarga. Sebelum itu hampir sebulan saya di Scotland menjalani penggambaran drama bersiri Demi.

"Bagaimanapun, selepas berada di wad, saya sangat bersyukur kerana Allah memilih untuk menguji saya. Selama lebih tiga minggu dirawat, segala kebimbangan saya meleset. Saya sebenarnya tidak sempat merasa bosan langsung sepanjang di wad.

Klik untuk gambar besar


"Walaupun ibadah puasa yang kami jalani di wad tidak sesempurna seperti di rumah yang meriah dengan pelbagai juadah, tetapi nikmatnya tidak sama seperti apa yang saya lalui di wad. Bagi saya nikmat yang dikecapi sepanjang dirawat tidak akan saya perloleh di mana-mana, katanya.

Menurut Ashraf, sepanjang menjalani rawatan masanya terisi dengan pelbagai perkara yang bermanfaat bersama keluarga baharu yang dikenalinya: "Jadual saya sepanjang dirawat di pusat berkenaan terlampau padat lebih-lebih lagi apabila memasuki Ramadan. Isteri saya terkejut dengan jadual saya yang terlampau padat mengalahkan dirinya yang bertugas sebagai barisan hadapan.

"Jadual padat dengan pelbagai aktiviti kerohanian sepanjang Ramadan membuatkan saya terasa seperti berada di Makkah. Rutin saya biasanya bermula jam 11 pagi, selepas bangun dan membersihakan diri, saya akan bersiap-siap untuk bertadarus sehingga jam 3 petang.



"Sementara menunggu solat Asar, saya berehat sebentar. Selain solat jemaah, aktiviti kami juga diisi dengan sesi takzirah, bacaan kitab hadis dan bercerita mengenai kebesaran Ilahi. Melakukan semua aktiviti bersama terutama solat jemaah membuatkan kami menjadi semakin rapat," tuturnya.

Menurut Ashraf, dia sebenarnya disahkan pulih pada 23 April lalu iaitu sehari sebelum Ramadan, namun memilih untuk terus menjalani kuarantin di hospital kerana alasan tertentu: "Ketika diberitahu saya negatif, saya minta kebenaran pihak hospital untuk terus berada di wad.

"Sekiranya saya keluar, saya masih perlu menjalani kuarantin. Jadi daripada menjalani kuarantin seorang diri, lebih baik saya terus berada di hospital kerana saya tahu apabila keluar, saya akan berseorangan mengerjakan solat Tarawih dan ibadah yang lain.



"Selama ini saya sentiasa berdoa mahu menikmati Ramadan dengan mengisi waktunya dengan pelbagai perkara bermanfaat, tetapi tidak sangka Allah makbulkan permintaan saya itu. Walaupun dalam cara begini, namun saya tetap bersyukur dan saya suda mulai merindui rakan-rakan.

"Mujur kami mempunyai kumpulan WhatsApp, jadi kami boleh bertanya khabar di situ. Sepanjang di sana pelbagai kisah dan ragam manusia yang saya dengar. Ada dalam kalangan mereka bukan datang dari keluarga senang, ada pula yang keluarga tidak terima kerana bimbang virus itu akan menjangkiti mereka dan pelbagai lagi cerita menarik yang memberi pengajaran," ujarnya.

Dalam masa sama, Ashraf memohon rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kesejahteraan pesakit Covid-19 supaya segera pulih: "Sama-sama kita doakan semoga pesakit Covid-19 cepat pulih dan dapat berjumpa ahli keluarga serta penyakit ini hilang dari muka bumi. Insya-Allah, terima kasih Allah kerana memilih saya sebagai pesakit Covid-19 dan syukur kepada-Nya kerana dapat merasa nikmat ini," katanya.








www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Ashraf Muslim


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: