16 May 2020

SIAP DALAM TEMPOH PKPB - 'SYAWAL INI', SINGLE TERBARU ZAMANI


Bagi mengubat rindu peminat, penyanyi Zamani telah tampil dengan single terbaru berjudul 'Syawal Ini'. KRU Music mengumumkan pengeluaran single terbaru Zamani setelah berkali-kali menunda tarikh rakaman dan penerbitan bahan-bahan promosi diatas arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak bulan Mac lalu walaupun lagu ini telah dicipta pada bulan Februari 2020.





Setelah arahan PKP ditukar ke PKPB oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 1hb Mei, Zamani serta tenaga kerja penerbitan KRU Music telah berjaya menyelesaikan kerja-kerja rakaman yang bermula pada 4hb Mei dan menyiapkan bahan-bahan pemasaran dalam tempoh seminggu.

Lagu ciptaan Neo dan terbitan Bajai ini mengisahkan tentang keinsafan dan kesyukuran seorang insan kerana masih dapat meraikan Syawal walaupun mengharungi pelbagai cabaran. Ianya turut mengenangkan ibubapa yang kini telah pulang ke rahmatullah serta doa seorang anak yang amat merindui mereka.

"Saya bersyukur kerana mendapat kerjasama baik dari keluarga KRU Music yang bertungkus-lumus menghasilkan lagu Aidilfitri saya ini. Sesungguhnya lagu ini menyentuh perasaan saya sendiri kerana lirik lagu ini mencerminkan kisah kehidupan saya apatah lagi mengenang arwah ibu dan bapa saya yang telah pergi," ujar Zamani.

'Syawal Ini' kini sudah mula dijual di iTunes dan akan diedarkan ke semua platform digital lain mulai 19hb Mei 2020. Sila layari sesawang www.krumusic.com atau ikuti perkembangan aktiviti pemasaran Zamani melalui Instagram dan Facebook 'iamzamani.offical' atau 'Zime Production' serta Youtube, Instagram, Facebook 'KRU Music'. Dengarkan 'Syawal Ini' di link berikut: https://soundcloud.com/user-302975240/syawal-ini-zamani/s-2ofN9JVifNI

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: