11 May 2020

CUBAAN KALI PERTAMA - TEPUNG PELITA IKA NABEELLA LARIS


"Saya biasa berniaga pada Ramadan. Saban tahun, saya menjual sambal hitam jenama Sambal Bini Bowie dengan ramuan belimbing buluh. Tetapi sekarang sukar hendak mendapatkan buah belimbing dari Kuala Lipis, Pahang yang saya selalu gunakan. Iyalah, kita tidak boleh sesuka hati merentas negeri. Jadi, projek itu terbantut.





"Hendak dijadikan cerita, suami tiba-tiba mengidam kuih tepung pelita. Berusaha dia menghubungi ibu saya bertanya resipi dan cara membuat kuih itu," demikian kata pelakon Ika Nabella yang sebelum ini mengaku tidak pernah menyediakan sendiri kuih tepung pelita, akhirnya pakar menyediakan pemanis mulut itu.

Ika memanfaatkan masa terluang dengan diisi dengan kegiatan berfaedah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan. Bukan itu sahaja, Ika menjual hasil air tangannya itu selepas maklum balas menyatakan kuih tepung pelita yang dihasilkannya, enak.

Kongsi ibu kepada bayi berusia enam bulan, Muhammad Noah Zayn ini, dia lazimnya membeli kuih tradisional popular pada bulan puasa itu di bazar Ramadan atau dihasilkan ibu. Apa yang melucukan, tambah Ika, bahan dibeli suami 'tersadai' di rumah selama seminggu: "Saya kemudian ambil hati suami dengan menyediakan kuih itu buat kali pertama seumur hidup," kata isteri kepada Muhammad Zaid Aznam itu.

Klik untuk gambar besar


Cubaan sulung Ika atau nama sebenar, Ika Nabila Abdul Rahim menyediakan tepung pelita dipuji suami: "Apabila dipuji, 'kembang' juga diri ini. Namun, nampaknya, pujian suami ada makna kerana dia meminta saya menyediakan kuih sama untuk keluarga dan sanak-saudara.

"Lantas, saya pun teruja berkongsi video bagaimana menyediakan kuih itu di Instagram (IG). Tidak sangka ramai teman artis beri ulasan dan teringin merasa air tangan saya. Alang-alang, saya buat tepung pelita untuk teman artis seperti Ruhainies, Nora Danish, Puteri Aishah, Tya Arifin, Datin Paduka Eina Azman, Mimie Haris dan Ummi Nazeera," ujarnya.

Ika berkata, pada mulanya, dia tidak berniat untuk berniaga: "Saya meminta alamat teman artis untuk dihantar kuih tepung pelita sebagai pengganti diri dan tanda ingatan pada bulan mulia ini," tuturnya.



Tanpa diduga, pemberian kuih itu kepada teman artis membuka ruang untuk berniaga secara kecil kecilan: "Mereka memuji dan beritahu enak. Ada juga yang cakap isi terlalu cair dan bekas digunakan terlalu besar.

"Niat saya agar kuih itu dapat dikongsi seisi keluarga. Tidak sangka, ada teman artis berkongsi mengenai tepung pelita saya di IG Story dan mahu menempahnya. Dari situlah, pengikut dan peminat saya mula menempah," jelasnya.

Namun, kata Ika, disebabkan dia perlu menjaga anak kecil, tempahan kuih tepung pelita hasil air tangannya, terhad: "Hendak menyediakan kuih ini bukan mudah. Mahu kacau ramuan juga mengambil masa lama," katanya yang menerima tempahan pelanggan dari kawasan berdekatan sahaja.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Ika Nabella & @zaidbowie


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: