08 May 2020

KANSER LIMFOMA MASIH WUJUD - ELYANA MASIH MAMPU BERPUASA


Meskipun masih bertarung melawan kanser limfoma yang dihidapi sejak kira-kira lapan tahun lalu, penyanyi Elyana terus positif menjalani rutin harian sebagai ibu dan isteri kepada keluarganya. Berkongsi perkembangan kesihatan, Elyana, 32, bersyukur dapat menjalani kehidupan seperti biasa, malah menyatakan yang sakitnya kini tidak seteruk awal-awal dahulu.





"Saya masih pesakit kanser tahap empat di mana sel kanser masih wujud dalam badan. Cuma, sekarang, sakit saya tidak seteruk seperti awal-awal dahulu. Alhamdulillah, tahap kesihatan saya sekarang biasa sahaja. Kadang-kadang saya sakit, ada kalanya tidak. Ada juga masanya saya penat, seperti mahu ke tandas pun saya letih. Bagaimanapun, semuanya baik-baik sahaja sekarang," tuturnya.

Tambah Elyana, selepas menjalani rawatan radioterapi, beliau kini sudah lebih setahun tidak menjalani pemeriksaan di hospital: "Kali terakhir saya ke hospital adalah awal tahun lalu untuk menjalani rawatan radioterapi selepas sel kanser menyerang tulang belakang.

"Keadaan itu menyebabkan saya tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sejak itu, saya belum lagi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," ujar Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana binti Emriza.

Klik untuk gambar besar


Menurut pemenang Anugerah Khas Pilihan Juri di Voice of Asia Kazakhstan ini, beliau kini masih aktif menerima tawaran nyanyian dan lakonan, malah telah sempat menyelesaikan penggambaran drama 'Misi Dania 2' sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Tidak sabar menunggu pandemik COVID-19 berakhir. Saya mahu kembali bekerja. Antara sebabnya, saya bosan terkurung di rumah selain mahu menjana pendapatan. Saya seronok bekerja. Ketika penggambaran drama Misi Dania Cun 2 di Kedah dan Perlis, saya tidak rasa bekerja pun," katanya.

Meskipun keadaan kesihatannya tidak memberangsangkan, Elyana kini difahamkan masih mampu menunaikan kewajiban ibadah berpuasa di bulan Ramadhan: "Alhamdulillah, saya masih larat berpuasa memandangkan saya juga tidak perlu memakan ubat mengikut masa tertentu. Anak saya, Cinta Sumayyah yang berusia sembilan tahun pun berpuasa penuh. Jadi, malulah kalau saya tidak berpuasa," jelasnya.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: