04 May 2020

MANAP KARAOKE - TEMUI PENONTON 7 MEI INI DI ASTRO FIRST


Bermula 7 Mei ini, Astro Shaw bawakan filem terbitan Enjit Enjit Semut dan Vision Studios (M), di bawah produksi Enjit Enjit Semut, 'Manap Karaoke' yang akan ditayangkan terus ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480.





Filem genre komedi ini diarahkan oleh pengarah filem pecah panggung 'Hantu Kak Limah' iaitu Mamat Khalid dan membariskan pelakon Joey Daud (Manap), Pekin Ibrahim (Rauf Bogiba), Mona Allen (Jamizan), Ropie (En Kamarulzaman), Sharwani NS (Wahab B), Imuda (Pak Mid), TJ Isa (Mat Khuda), Arwah Rab Khalid (Taiko Tai), Arwah Man Kadir (Tok Imam), Ziema Din (Kak B Vavavom) dan ramai lagi.

Filem ini mengisahkan tentang Manap yang mendapat idea untuk membuka pusat karaoke lain daripada yang lain, iaitu karaoke bergerak. Wahab B menawarkan lori ayahnya dan menjadi pembantu untuk menguruskan peniagaan bersama Manap.

Jadi, bermulalah bisnes karaoke mereka. Macam-macam insiden lucu terjadi ketika sesi karaoke dijalankan. Bisnes mereka juga mendapat sambutan hangat oleh penduduk kampung tidak kira bangsa dan peringkat umur.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, bisnes karaoke Rauf Bogiba di kampung mereka semakin tidak mendapat sambutan. Rauf Bogiba tidak berpuas hati dan menyerang Manap sehingga berlaku pergelutan dan memusnahkan karaoke bergerak Manap. Bermulalah “perang” di antara Manap dan Rauf Bogiba.

Menurut Mamat Khalid, keistimewaan filem ini bukan sahaja tertumpu pada penceritaan dan watak semata-mata, tetapi ia juga mengembalikan nostalgia lagu-lagu 90an yang masih popular hingga saat ini:

"Saya anggap ini adalah masa yang sesuai untuk tampilkan filem komedi dalam keadaan sekarang, pasti ada di antara kita yang risau, tertekan mahupun kebosanan. Jadi, saya harap karya ini dapat menghiburkan dan memberi semangat kepada penonton dengan jenaka dan lagu-lagu yang boleh membuat mereka menyanyi bersama.



"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pihak Astro Shaw yang meletakkan kepercayaan pada karya ini untuk dipersembahkan kepada penonton ketika tempoh PKP ini. Ini juga adalah khas buat penonton dan peminat yang rindukan karya saya di pawagam," katanya.

Beliau sememangnya terkenal dengan karya yang memenuhi cita rasa dari pelbagai aspek yang pada dasarnya ada hiburan ringan, tetapi pada asasnya ada parodi dan satira yang ada subteks yang boleh dikupas.

Jadi bagi mereka yang rindukan karya Mamat Khalid, ini adalah masanya untuk menyaksikan filem terbaru beliau dan sekaligus berhibur dengan jenaka yang diselitkan. 'Manap Karaoke' menjadi filem Malaysia pertama yang dibawa terus ke rumah anda. Penonton dapat duduk di rumah, bergelak ketawa bersama keluarga disamping menikmati kualiti filem.





















































         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: