14 June 2020

ALMY SELESA JADI DIRI SENDIRI REVIEW MAKANAN - TAK MEKAP TEBAL, TAK KISAH JERAWAT & SAKIT


"Saya jenis sempoi. Saya bukan orang yang kalau nak buat ulasan yang mana kena ada lampu kiri, kanan, atas dan bawah, tak. Kena mekap tebal, tak. Saya menjadi diri sendiri. Memang kadang muka ada jerawat, saya rasa ia tak penting, tapi cara makan dan penyampaian buat orang terliur dan nak beli.





"Sakit pun saya kena kerja, sebab mereka sudah bayar. Lagi pula mereka ada tarikh tertentu apatah lagi kalau hujung bulan dan mengharapkan orang beli produk mereka. Produk pun tak mahal, semua bawah RM50, jadi mereka perlukan jualan. Memang saya selebriti kena cantik sebab nak buat ulasan pada orang. Tapi, untuk cara saya, pakai baju rumah saja.

"Sepanjang bulan puasa, memang pakai baju kurung. Itu konsep saya yang mana sempoi, ikhlas dari hati dan puaskan hati semua orang. Jadi, apabila orang sudah bayar, saya berasa walaupun sakit, apa jua keadaan saya kena teruskan juga.

"Cuma macam tempoh hari ketika masuk hospital, saya minta tukar tarikh sebab keadaan saya yang sangat tak mengizinkan," tutur pelakon Datin Almy Nadia atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 34, yang mengakui selesa menjadi diri sendiri ketika melakukan ulasan makanan berbayar di laman Instagram.

Klik untuk gambar besar


Almy berkata, apa yang penting adalah cara ulasan dan penyampaian sekali gus meyakinkan pembeli untuk mendapatkan produk berkenaan. Almy yang juga isteri kepada pelakon Datuk Fizz Fairuz berkata, apa yang cuba dibuat adalah ingin membantu peniaga kecil yang mula terjejas dari segi pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Malah, Almy yang popular menerusi drama Dunia Baru bersyukur apabila jualan perniagaan pihak terbabit meningkat dan mendapat sambutan menggalakkan: "Saya cuba menolong peniaga kecil yang mana nak berniaga. 100 peratus mesej peribadi diterima di Instagram (DM) mengatakan suami tak kerja, jadi isteri kena kerja mencari rezeki. Jadi saya cuba membantu.

"Bagi yang menggunakan khidmat saya, seolah-olah mereka macam pelanggan yang mana saya akan mendapatkan maklum balas dari segi penjualan dan perniagaan Alhamdulillah, mereka berpuas hati. Dari biasa-biasa, ada yang tak menang tangan sehingga kena tambah pengendali akaun," ujarnya.

Mengenai soal bayaran, Almy mengakui hanya mengenakan token iaitu pada harga yang masuk akal: "Saya buat 'review' makanan saja untuk peniaga kecil yang terkesan sejak PKP, tapi kena bantu saya juga bayar token. Bayaran saya tak sampai pun ribuan ringgit. Siapa yang sudah biasa dengan saya, tahu harga saya. Saya cuba bantu menaikkan jualan mereka," katanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Almy Nadia


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: