03 June 2020
BERMULA 10 JUN - PENGGAMBARAN FILEM, DRAMA, IKLAN DIBENARKAN BEROPERASI, PERLU PATUHI SOP
Aktiviti penggambaran filem, drama, iklan dan sebagainya telah dibenarkan beroperasi bermula pada 10 Jun ini. Bagaimamanapun kesemua aktiviti tersebut perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam mesyuarat sebelum ini.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Selasa: "Hari ini, kita telah putuskan penggambaran filem, drama, iklan dan sebagainya boleh memulakan operasi mereka bermula 10 Jun 2020.
"Walau bagaimanapun, aktiviti penggambaran juga mestilah mematuhi setiap SOP yang telah diputuskan di dalam mesyuarat tersebut terutamanya mengenai penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri, tidak membolehkan perhimpunan yang ramai dan sebagainya," katanya.
Klik untuk gambar besar
Tambahnya, beberapa prosedur perlu dipatuhi pihak produksi semasa menjalani penggambaran termasuk melakukan mesyuarat dan uji bakat secara atas talian, mengemukakan rekod perjalanan untuk semua kru dan artis sebelum penggambaran. Selain itu, produksi perlu melantik seorang penyelia keselamatan semasa penggambaran dijalankan.
Perkhidmatan bufet untuk artis dan kru tidak dibenarkan selain jurusolek dan penata rias perlu mengikut prosedur yang betul dengan memakai face shield dan mencuci tangan sebelum dan selepas menyolek atau menata rias artis. Namun begitu, program rakaman atau penggambaran secara langsung yang melibatkan penonton yang ramai masih tidak dibenarkan.
www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Astro Gempak
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment