15 June 2020

"SAYA FAHAM SOP TAPI JANGAN KURANG AJAR" - NOURUL KECEWA DITENGKING ANGGOTA KESELAMATAN KLIA


"Anggota itu tinggikan suara pada saya. Dia cakap dua orang sahaja yang boleh masuk ke dalam. Saya kata okey, tetapi ibu bapa mertua saya tak boleh berbahasa Inggeris dan Melayu... tapi dia masih menjawab dengan nada yang tinggi. Saya kasihankan ibu dan bapa mentua yang tak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris.





"Saya faham undang-undang tidak membenarkan ramai-ramai masuk tetapi jangan kurang ajar sangat. Cara dia cakap sampai meninggi suara seperti saya tak patuh undang-undang!" demikian kata penyanyi Nourul Wahab yang meluahkan rasa kecewa selepas melalui pengalaman yang tidak menyenangkan apabila dilayan dengan kasar oleh seorang anggota keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Nourul kesal dan terkejut dengan tindakan salah seorang petugas keselamatan yang meninggikan suara terhadapnya dan menyifatkan kurang ajar. Kata Nourul, dia faham mengenai prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan namun berharap agar anggota berkenaan lebih berbudi bahasa ketika menjalankan tugas.

Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 41, berkongsi pengalamannya itu menerusi beberapa posting di Instagram. Tambah Nourul, dia belum pernah berhadapan dengan situasi seperti itu membabitkan penjawat awam.

Klik untuk gambar besar


"Bahasa sesungguhnya jiwa bangsa. Terutamanya yang bertugas demi negara, saya marah betul kalau orang tak tahu sopan. Tak kira awak ada kuasa atau tidak, jangan kurang ajar dengan orang lain. Manusia ni dinilai daripada kesopanan kita, tak kira apa-apa jawatan dan pekerjaan pun. Selama ini saya tak pernah jumpa anggota keselamatan yang kurang ajar seperti itu," ujarnya.

Sementara itu Nourul turut memuatnaik posting bersama petugas keselamatan di KLIA yang cuba menjelaskan mengenai salah faham berkenaan: "Tak semua mereka begitu (kasar). Faham mereka juga manusia, bertugas demi negara... demi kita semua.

"Saya cukup respect semua anggota beruniform. Semalam saya jadi terkedu sebab belum sempat buka mulut dah kena tengking. Tak apa saya faham, undang-undang kena ikut," tutur pelantun lagu 'Kerana Terluka' itu



Nourul akur dengan tindakan tegas petugas keselamatan terbabit memandangkan situasi semasa yang menyebabkan ramai tertekan: "Tak kisah tegas tetapi jaga budi bahasa. Saya bukan nak cari salah orang dan kami pun tak pasti dengan undang-undang baharu di lapangan terbang.

"Terkesima saya, dah lah tengah sedih dan kasihan kat ibu dan bapa mentua saya. Selalunya saya akan cakap elok-elok tapi disebabkan terkejut saya jadi terdiam terus. Kami tak marah undang-undang tapi cara dia beritahu itu kurang manis. Kalau menyampaikan undang-undang buat kita marah itulah yang jadikan kita geram sebenarnya," tambahnya.

Situasi itu sedikit sebanyak mencalarkan pandangan individu dari luar yang selama ini melihat penduduk Malaysia kaya dengan budi bahasa: "Eric menasihatinya untuk bercakap elok-elok tetapi sedikit sebanyak kecewa atas apa yang terjadi," kata Nourul.

Nourul meminta agar semua pihak bertenang dan sentiasa menjaga tatatertib walau di mana saja berada. Kedua-dua ibu dan bapa mentuanya berada di Malaysia sebelum negara memutuskan untuk menutup sempadan negara ekoran pandemik COVID-19.




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Astro Gempak & Instagram Nourul Depp


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: