21 June 2020

TIGA DEKAD BERKAHWIN - SALWA AKUI BAHAGIA, BERSYUKUR SUAMI BUKAN KAKI PEREMPUAN, LEPAK


"Saya bersyukur suami bukan kaki perempuan, jadi saya tak perlu pening kepala. Kita sebagai perempuan, pasti tahu jika suami sebegitu. Andai ada sifat itu, mudah sesebuah rumah tangga runtuh hingga bercerai-berai. Tidak menafikan, ada juga rakan saya menimpa nasib begitu. Jujurnya, perkahwinan bukan perkara yang mudah. Paling penting dalam rumah tangga adalah kejujuran.





"Disebabkan itu, saya bersyukur dikurniakan pasangan seperti abang Subadron. Dia bukan kaki perempuan dan tidak suka keluar melepak. Masanya lebih banyak dihabiskan di rumah bersama keluarga," tutur penyanyi Salwa Abdul Rahman yang bersyukur dikurniakan pasangan sempurna.

Kongsinya, perkahwinan yang dibina sejak 1991 tidak terkecuali dilanda ujian, apatah lagi buat selebriti sepertinya yang bertemu jodoh dengan pemain bola sepak. Diakui, tidak boleh dielak, pasti segelintir masyarakat melempar pandangan negatif. Lebih-lebih lagi, ada yang mempunyai persepsi jodoh artis dan ahli sukan susah bertahan lama kerana sikap mata keranjang.

Sehubungan itu, Salwa yang hampir tiga dekad melayari bahtera rumah tangga bersama suami, Subadron Abdul Aziz yang juga bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur itu tidak pernah risau meninggalkan suami apabila perlu ke luar negara memenuhi undangan nyanyian: "Contohnya, saya selalu ke Brunei selama dua minggu. Namun, saya tidak risau kerana tahu suami boleh dipercayai.

"Jika keluar pun, suami akan pergi ke akademi bola sepak. Dia mengajar anak-anak berusia enam hingga 17 tahun bermain bola. Alhamdulillah, saya harap rumah tangga kami terus kekal bahagia. Tidak dinafikan, hidup sebagai suami isteri ada pasang surut. Tetapi jika bergaduh, tidak pernah lebih daripada tiga hari. Itulah petua orang tua yang kami amalkan sehingga hari ini," katanya.

Salwa berkata, dia juga bersyukur keluarga mentua menerima dan melayannya dengan baik. Perkahwinan Salwa dan Subadron diwarnai dengan kehadiran dua cahaya mata, Puteri Sulaikha, 22, dan Putera Sufrie, 19.

Bercerita minat anak­anak, Salwa berkata, puterinya mempunyai bakat dalam nyanyian, tetapi memilih untuk fokus dalam kerjaya sendiri:"Sulaikha menunjukkan minat menyanyi tetapi dia anak yang bijak dan minat belajar. Jadi, kami biarkan Sulaikha belajar dan baru habis pengajian peringkat ijazah.

Klik untuk gambar besar


"Alhamdulillah, selepas tamat pengajian, Sulaikha terus dapat kerja. Anak bongsu, Sufrie menunjukkan minat bermain bola sepak. Sufrie dilatih suami tetapi nampaknya, dia lebih berminat dalam bidang e­Sport. Bagaimanapun, buat masa sekarang, Sufrie menguruskan perniagaan keluarga," katanya.

Melihat anak­anak berjaya, Salwa berkata, tiada apa lagi yang dipinta ketika usia mencecah 55 tahun. Baginya, apa yang dimahukan semuanya diatur dengan baik. Berkongsi perkembangan terbaru, Salwa berkata, dia memperlahankan kerjaya seni selepas kali terakhir merakamkan album, tahun lalu.

"Saya masih menyanyi, tetapi tidak seaktif dulu. Kebetulan seluruh dunia diuji dengan pandemik COVID­19 dan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya lebih banyak menghabiskan masa menguruskan rumah tangga. Jika diikutkan, saya merancang menunaikan ibadat Haji tahun ini, tetapi terpaksa ditangguh. Jadi, saya penuhi masa dengan amal ibadat selain bersama keluarga," katanya.

Pelakon filem 'Kolej 56' itu berkata, semangat untuk menyanyi boleh dikatakan hilang apabila sahabat baiknya, Allahyarham Datuk Nassier Wahab menghembuskan nafas terakhir, Disember lalu. Salwa berkata, dia masih bersedih atas pemergian arwah kerana hubungan mereka seperti adik-beradik.

"Separuh semangat saya hilang ketika ini. Jadi, biarlah saya berehat dahulu. Ada rakan mengajak merakamkan lagu, tetapi jujurnya, saya tidak berminat. Mungkin tahun depan saya akan kembali aktif," katanya.

Popular pada era 1980­an, Salwa dikenali dengan lagu seperti Cubit­Cubit Sayang, Satu Dua Kau, Rindu Merindu dan Bohong Ah Bohong. Salwa juga pernah merakamkan dua lagu yang ditujukan kepada suami iaitu Bintang Sukan Ku dan Bintang Di Sayang.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: