07 July 2020

DERITA KANSER KULIT TAHAP 4 - YUSOF KELANA TERIMA KUNJUNGAN DATUK YUSOF HASLAM & MOHD NOOR KADIR


Pengarah filem Tragedi Oktober dan Pontianak Menjerit, Yusof Kelana, 66, menghidapi penyakit kanser kulit selepas mempunyai luka pada tapak kaki. Sangkanya, luka berkenaan sekadar kesakitan biasa. Biarpun luka semakin membesar, Yusof tetap tidak mengendahkan ajakan anaknya ke hospital.





"Sehinggalah saya terjatuh dan sakit dada, lantas anak tidak berlengah lagi membawa saya ke hospital. Saya tak mempunyai penyakit kencing manis, jadi doktor menjalankan ujian Computed Tomography atau CT Scan. Daripada situ, mereka mengesan penyakit, tetapi untuk mendapatkan lebih kepastian, mereka mengambil tisu. Hasil ujian, saya disahkan menghidap kanser kulit tahap empat, dua minggu lalu," katanya.

Yusof reda dengan ujian berkata, dia tidak akan berputus asa, sebaliknya mahu terus berjuang untuk melawan penyakitnya. Beliau kini dirawat di Hospital Ampang Puteri bagi menjalani rawatan kemoterapi. Sebelum itu, Yusof dimasukkan ke hospital selama 10 hari pada penghujung bulan lalu.

Mengakui sering menjalani ujian kesihatan, tetapi tidak membabitkan keseluruhan badan menyebabkan penyakitnya gagal dikesan: "Saya akan melalui rawatan kemoterapi untuk lima pusingan terlebih dahulu. Dari situ, doktor akan memantau sama ada rawatan yang dijalani berkesan atau tidak. Saya reda dengan ujian penyakit kerana semua ini sudah tertulis, tetapi kita tidak boleh mengalah.

"Selain mencuba perubatan moden, saya akan mencuba rawatan alternatif. Selepas dibenarkan keluar hospital selepas rawatan pertama, saya ke Ipoh, Perak mencuba perubatan tradisional. Ini sekadar ikhtiar yang termampu. Saya tak kisah berhabis kerana nyawa lebih berharga daripada segala-galanya. Lagipun, tiada guna bersedih kerana ada orang yang keadaannya lebih teruk daripada saya," ujarnya.

Pemilik YKS Film Maker itu berkata, dia bersyukur kerana teman rapat meluangkan masa menziarahinya. Antaranya, Datuk Yusof Haslam, A Galak, Mohd Noor Kadir dan ramai lagi. Ia sedikit sebanyak menceriakan hatinya.

Pengarah filem Bahaya Cinta dan Bidong: The Boat People itu berkata, dia mungkin tidak menyedari penyakit yang dihidapi disebabkan terlalu sibuk dengan kerja seni. Katanya, dia baru sahaja menyiapkan penggambaran dokumentari berjudul Kota Kota Yang Ditinggalkan untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebanyak 13 episod.

Sebelum itu, Yusof yang juga produser menyelesaikan penggambaran Mahathir, The Journey hingga tidak menyedari kesakitan yang dialami: "Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sibuk dengan tugas sebagai produser filem Mahathir, The Journey an pengarah dokumentari Kota Kota Yang Ditinggalkan.

"Apabila PKP dilaksanakan, kerja saya mula tertangguh. Jadi, apabila kerajaan memberikan kelonggaran menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), saya tidak berlengah menyiapkan saki baki dokumentari tertangguh.

"Kini, dokumentari dalam peringkat suntingan, tetapi disebabkan saya baru dikesan menghidap kanser, jadi tugas terpaksa diserahkan kepada tenaga produksi lain untuk disiapkan. Saya akui, mungkin selama ini saya terlalu sibuk hingga tidak perasaan perubahan diri.

"Bagaimanapun, naluri hati saya seperti dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena apabila luka pada kaki semakin membesar. Saya juga kurang bermaya, tetapi disebabkan sibuk dengan kerjaya, saya tak ambil peduli keadaan diri," jelasnya.

Yusof berkata, dia tak menyangka kanser kulit boleh merebak hingga berada pada tahap empat secepat ini: "Seperti dikatakan, saya tak akan berputus asa untuk berjuang melawan penyakit ini. Walaupun sudah puluhan ribu dibelanjakan untuk rawatan dan bil hospital, saya sanggup lakukan apa sahaja asalkan dapat melawan penyakit. Ini kerana nyawa lebih berharga daripada wang ringgit," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: