09 July 2020

LEPAS MAS KHAN DIKENAKAN DENDA, PENJARA - A A.DA BAKAL AMBIL TINDAKAN SAMAN



Penerbit Datuk A Aida meluahkan rasa lega dan berpuas hati apabila Mahkamah Majistret Ampang pada 8 Julai 2020 menjatuhi hukuman denda RM17,000 atau penjara 26 bulan terhadap pelakon Mas Khan selepas dia mengaku bersalah mencuri 'wallet' mata wang kripto miliknya bernilai RM213,805.



A. Aida berkata, keputusan mahkamah itu sekurang-kurangnya dapat mengajar Mas Khan supaya menghargai sesebuah persahabatan apatah lagi dia menganggap pelakon itu seperti adik sendiri dan sering memberinya peluang berlakon bawah syarikat, A Aida Production.

"Saya lega dan puas hati... Saya harap ini menjadi pengajaran kepada Mas Khan yang sebelum ini saya pernah anggap sebagai adik saya sendiri. Saya juga berharap ia menjadi pengajaran kepada semua orang bahawa negara kita mempunyai undang-undang. Sesiapa sahaja yang berbuat perkara yang menyalahi undang-undang negara pasti akan menerima hukuman, cepat ataupun lambat," katanya.

Malangnya, keputusan mahkamah itu tidak habis di situ sebaliknya A Aida berhasrat menyaman semula Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan bagi menuntut ganti rugi akibat kehilangan wangnya. Saman sivil terhadap Mas Khan akan tetap diteruskan selepas ini.

"Atas nasihat peguam, saya akan teruskan dengan saman sivil terhadap beliau selepas ini. Ia akan dibuat melalui lawyer yang telahpun saya lantik iaitu Zulkifli Yong Azmi & Co untuk menuntut keseluruhan jumlah yang dicuri dan juga ganti rugi teladan faedah serta kos tindakan di mahkamah," tegasnya.

Tambah A.Aida dia tidak berdendam terhadap pelakon tersebut dan tiada masalah sekiranya Mas Khan mahu kembali bekerja di A.Aida Production: "Sebagai orang Islam, saya tidak sesekali berdendam tetapi dalam masa yang sama, saya berharap beliau insaf kerana beliau masih muda dan punya masa depan yang panjang. Dan insya Allah, tidak ada masalah untuk saya mengambil beliau bekerja di bawah produksi A. Aida Production selepas ini," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: